Nostalgia peniaga kerbau di tamu

 Nostalgia peniaga kerbau di tamu

Oleh Mohd Azrone Sarabatin

KOTA BELUD, 30 Mac – Laporan portal Wacana.my mengenai penjualan ternakan hidup di Tamu Kota Belud yang dihentikan sejak 2005 menggamit kenangan penternak lembu dan kerbau yang pernah berniaga di pasar tradisi berusia 143 tahun itu.

Bagi Kulim Sinong, 78, penjualan kerbau dan lembu hidup di Tamu Kota Belud seharusnya dipertahankan kerana ia memudahkan penternak dan pembeli berurus niaga, sekali gus mempertahankan sistem perniagaan yang unik dan klasik.

Beliau mula berniaga di tamu itu pada 1974, sebelum beralih kepada perniagaan menjual daging lembu dan kerbau di Pasar Besar Kota Belud pada 1998 selepas operasi penjualan ternakan hidup dihentikan.

Katanya, selain membeli lembu dan kerbau daripada penternak, beliau turut mempunyai ternakan sendiri khususnya lembu melebihi 50 ekor.

Biasanya kerbau dan lembu yang dibeli di Tamu Kota Belud akan diternak dulu supaya beratnya bertambah, sekali gus harganya meningkat.

“Ketika jualan kerbau dan lembu hidup dibuka semula di Tamu Kota Belud sekitar 2004, saya kembali menjual dan membeli haiwan itu. Namun jumlah ternakan diniagakan di situ tidak seperti dulu, kadang-kadang langsung tiada peniaga menjual ternakan mereka menyebabkan operasinya dihentikan semula,” katanya.

Anak jati Kampung Siasai, di sini mewarisi kepakaran menunggang kerbau daripada nenek moyangnya, begitu juga pekerjaan menternak, membeli dan menjual ternakan berkenaan.

“Setiap kali melihat tapak jualan lembu dan kerbau yang terbiar dalam belukar, saya sedih kerana banyak kenangan di sini. Saya gembira membaca artikel disiarkan portal ini mengenai penternakan lembu dan kerbau serta operasi penjualannya di Tamu Kota Belud. Ia menggamit kenangan saya mula berurus niaga di situ lebih 45 tahun lalu,” katanya.

Selain menternak lembu, Kulim mengusahakan dusun dan sering memenangi pertandingan hasil tani terbaik sempena perayaan Tamu Besar yang diadakan setahun sekali.

Bagi Astan Abdullah, 55, sejak kecil beliau mengikuti bapanya menangkap kerbau dan lembu di rizab padang ragut Bua’ Pintasan sebelum menjualnya di Tamu Kota Belud, iaitu satu-satunya pasar tempat berurus niaga ternakan hidup di Malaysia pada zaman silam.

Katanya, ketika itu penjualan ternakan hidup di tamu adalah pilihan utama penternak kerana ia lebih mudah untuk memasarkan ternakan sejajar matlamat pembinaan tamu iaitu tempat pertemuan dan perniagaan.

Beliau berkata, era 1990-an selepas penggunaan telefon diperluaskan ke kawasan luar bandar, ia memudahkan perhubungan peniaga dan penternak menyebabkan urus niaga tidak lagi diadakan di tamu , sebaliknya peniaga akan menemui penternak di mana-mana lokasi penternakan.

“Ketika itu juga, permintaan luar daerah dan dari negeri jiran amat tinggi dan saya bersama bapa saudara sering menghantar ternakan sehingga ke Lawas, Sarawak dan Lahad Datu pada jarak melebihi 400 kilometer sehala bagi setiap daerah,” katanya.

Astan berkata, pada era 1960-an hingga awal 1990-an penternak menggunakan kuda untuk menangkap kerbau atau lembu untuk dijual atau dijadikan juadah majlis kenduri perkahwinan, doa selamat, kesyukuran dan tahlil, selain acara keramaian lain termasuk menyambut pembesar tempatan, negeri dan negara.

Pada masa sama, katanya, menunggang kuda dalam kalangan masyarakat Bajau juga untuk menangkap anak lembu dan kerbau bertujuan `ngatag’, iaitu memasang tanda pada telinga kerbau dan lembu.

“Atag mungkin berasal dari bahasa Inggeris iaitu `tag’ (tanda) kerana setiap penternak ada `atag’ masing-masing yang diukir pada telinga ternakan untuk memudahkan penternak mengesan ternakan mereka.

“Ini juga untuk memudahkan proses perundangan kerana apabila penternak menjual ternakan bukan miliknya, pihak berkuasa seperti polis dan Jabatan Haiwan dan Perusahaan Ternak mudah menyelesaikan kes berkenaan kerana mereka turut diberikan salinan lakaran bentuk tanda telinga ternakan setiap penternak,” katanya.

Tradisi penjualan ternakan hidup mencakupi kerbau dan lembu di Tamu Kota Belud yang diamalkan sebelum era kemerdekaan sebelum terhenti awal 1990 dan diaktifkan semula pada 2004, namun terhenti semula setahun kemudian.

Tinjauan Wacana.my bulan lalu di tapak jualan ternakan hidup di Tamu Kota Belud atau `Semio Aad’ dalam bahasa Bajau mendapati separuh daripada tapak berkenaan diliputi belukar, manakala selebihnya dimajukan sebagai kafe sejak tiga tahun lalu.

Peralatan untuk menimbang dan kandang khas tempat transit untuk menempatkan ternakan sebelum dibeli pelanggan juga sudah tiada di tapak asal.

Kota Belud amat sinonim dengan perarakan kuda berhias Bajau atau `Nampang Rojo’ dalam masyarakat berkenaan juga berkait rapat dengan tradisi menunggang kuda dalam kalangan penternak lembu dan kerbau.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

30  −  25  =