Norma baharu, bisnes pun baharu

 Norma baharu, bisnes pun baharu

Asri (kiri) dan Kamarul Bahrin dengan arnab yang diternak

Oleh Ama Alias

KOTA BHARU: Sejak penularan pandemik COVID-19, aktiviti ekonomi termasuk kegiatan mikro dan industri kecil dan sederhana (IKS) terjejas teruk malah banyak premis perniagaan atau perusahaan terpaksa ditutup.

Keadaan ini memaksa sebahagian besar peniaga atau pekerja mencari jalan secara kreatif menukar landskap perniagaan kepada yang lebih memudahkan pergerakan ataupun terus kepada sistem jualan atas talian.

Penanam nanas dan tembikai, Kamaruzzaman Mohd Asri, 35 turut mengalami nasib sama apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyukarkan beliau meneruskan usaha menanam dua jenis buah-buahan itu apabila rumahnya di Kampung Pak Simpol dekat Bachok terletak agak jauh dari kebunnya.

Tambahan pula, permintaan terhadap hasil itu amat berkurangan kerana pergerakan pembeli dan pemborong turut terhad kerana PKPK.

“Saya mula memikirkan cara lain untuk meneruskan kehidupan dan tertarik dengan penternakan arnab selepas melihat potensi ternakan ini di Facebook,” katanya.

Dengan wang simpanan yang masih berbaki, Asri membeli 11 ekor arnab spesies New Zealand White dan membuat sangkar dengan keseluruhan kos RM1,500.

Rezeki menyebelahinya apabila beliau mampu menjual arnab pedaging itu dalam tempoh singkat dan kini mempunyai lebih 150 ekor arnab dengan 35 daripadanya induk betina sebagai baka.

“Kami jual daging untuk pasaran makanan sejuk beku dan satay arnab manakala daging dijual antara RM28 hingga RM30 sekilogram. Kami sudah mempunyai pembeli tetap bagi pasaran Kelantan, Terengganu dan Kuala Lumpur,” katanya yang mengusahakan penternakan itu bersama adiknya, Kamarul Bahrin,24.

Azura (kiri) menunjukkan keropok lekor yang dihasilkan

Bagi penjual kuih tradisional, Azura Salleh, 44, berpendapat ada hikmah di sebalik PKP dan COVID-19 apabila beliau yang menjual kuih sebelumnya kini mampu bergelar tauke keropok losong dan keropok keping dengan mempunyai 11 agen seluruh negara dan empat pekerja tetap.

Katanya, perubahan kehidupannya berlaku apabila beliau dan suami, Halili Harun, 44, masing-masing kehilangan pekerjaan dan pelanggan yang tidak dibenarkan keluar rumah mula membuat pembelian secara online.

“Pada awalnya, saya agak kesedihan kerana kami hilang punca pendapatan 100 peratus. Namun, saya cekalkan hati dan menghadiri kelas kemahiran dan memilih pembuatan keropok sebagai cara nak menjana pendapatan baru,,” katanya.

Atas ihsan jiran, Mohd Kori Mat Hussin, yang sanggup memberi hutang, Azura menjadikannya modal  dan membeli mesin membuat keropok.

Hasilnya, dalam tempoh beberapa bulan saja, dia mampu menghasilkan 10 jenis keropok iaitu keropok losong, keropok keping dan keropok sejuk beku menggunakan 200 hingga 300 kilogram ikan setiap hari.

Azwani memilih menjadi peserta dropship

Lebih menarik, Azura kini menawarkan pula peluang menjana pendapatan kepada individu yang dibuang kerja atau tiada pendapatan akibat COVID-19 dengan membuka peluang menjadi agen dengan keuntungan RM100 ke RM200 seminggu.

Bagi Azwani Zaharuddin, 32, selepas berhenti kerja di sebuah restoran makanan segera, beliau mula berjinak-jinak menjadi peserta dropship beberapa produk makanan dan kosmetik bagi menampung kehidupan.

“Saya belajar mengikis perasaan malu dan menimba lebih banyak ilmu perniagaan khususnya menjual secara online kerana COVID-19 memberi peluang banyak kepada perniagaan dalam Internet,” katanya.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  −  3  =  2