Nokia perkuat teknologi 5G Malaysia

 Nokia perkuat teknologi 5G Malaysia

KUALA LUMPUR, 14 Jun — Syarikat teknologi maklumat dan telekomunikasi dari Finland, Nokia, menawarkan teknologi 5G peringkat global yang dibangunkannya untuk digunakan dalam pelaksanaan rangkaian di Malaysia pada akhir 2021.

Menurut Ketua Nokia Asia Tenggara, Daniel Jaeger berkata terdapat lebih 200 kontrak komersial 5G serta 60 rangkaian 5G sedang beroperasi di seluruh dunia, dan pihaknya ingin menyediakan beberapa penyelesaian yang terbukti berkesan untuk Malaysia.

“Nokia memiliki portfolio luas selain mempunyai semua yang diperlukan pengendali untuk membangunkan rangkaian 5G yang kukuh.

“Selain itu, kami juga gembira apabila aspek keselamatan teknologi rangkaian 5G Nokia meraih minat dan kepercayaan yang tinggi daripada pelanggan kami,” katanya.

Bulan lalu, Nokia mengesahkan penyertaannya dalam pembinaan infrastruktur 5G oleh Digital Nasional Bhd (DNB).

Selain itu, Nokia turut berhasrat untuk meningkatkan kesambungan dan memacu pembangunan ekonomi negara menerusi teknologi canggih seperti e-kesihatan, simpanan cloud, kawalan jauh mesin, serta pengawasan dan analisis video.

Jaeger berkata dari segi keselamatan rangkaian, Nokia telah bekerjasama dengan pelbagai pihak di setiap negara untuk memenuhi keperluan penyelesaian khusus seperti yang ditetapkan pihak pengawalseliaan masing-masing.

“Dalam melaksanakan rangkaian 5G, kepentingan terhadap aspek keselamatan adalah jauh lebih besar berbanding teknologi sebelum ini jadi kami mencipta semuanya dari mula dengan menekankan aspek keselamatan dalam setiap penyelesaian serta rangkaian yang kami bina.

“Kami turut bekerjasama dengan pihak pengawal selia dan hasilnya, penyelesaian kami dalam 5G secara khusus telah dipilih oleh pengendali di semua benua, termasuk negara yang mempunyai syarat keselamatan yang ketat,” katanya.

Tambahnya, selain menawarkan penyelesaian kepada rangkaian dalam portfolio, Nokia turut menyediakan kesambungan gentian bagi perkongsian dengan penyedia perkhidmatan tempatan, Allo, dalam melaksanakan sebuah rangkaian gentian gigabit di Melaka, Johor, Negeri Sembilan serta wilayah pantai timur Semenanjung Malaysia.

“Kami juga melakukan berusaha keras dalam membangunkan kabel dasar laut untuk menghubungkan benua dan pulau antara satu sama lain dalam mempertingkatkan kesambungan.

“Kami mempunyai semua aspek penting dalam portfolio kami yang menjadi keperluan pengendali untuk membangunkan rangkaian, dan Nokia bekerjasama rapat dengan mereka bagi penggunaan teknologi berbeza dari sebelum ini,” katanya.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

6  +  2  =