Nizal & Co berkongsi cerita tentang kita

 Nizal & Co berkongsi cerita tentang kita

Oleh Haliza Ahmad

Pertama kali mendengar program bicarawara Nizal & Co, mungkin ramai menyangka ia berkisar mengenai kisah hidup mantan pengacara Jejak Rasul, Nizal Mohammad.

Namun Nizal, 59, yang memilih platform digital dalam talian yang lebih interaktif dan mencabar selepas 13 tahun bekerja di sebuah stesen TV tempatan, menegaskan program yang disiarkan di YouTube itu bukan cerita dirinya.

Nizal & Co bukan suatu platform yang obses memaparkan segalanya mengenai seorang bernama Nizal. Itu sama sekali tidak!,” jelasnya.

Beliau berkata, program dalam talian ini adalah ibarat suatu pentas yang membawa semangat serta jiwa pembangunan masyarakat, bersama iltizam untuk menabur bakti kepada komuniti.

“Ia adalah wahana untuk kita semua berkongsi cerita mengenai kita,” katanya.

Disasarkan untuk menarik khalayak awam daripada pelbagai latar belakang, Nizal & Co yang mula bersiaran pada November, 2020 berkongsi cerita realiti masyarakat melalui pengalaman sebenar mereka dalam mencari penyelesaian terhadap dugaan dan pancaroba kehidupan.

Pelbagai subjek diketengahkan dalam program ini termasuk isu sosial, selebriti, soal semasa, komedi, teknologi, muzik, ekonomi, hiburan dan kisah-kisah masyarakat sebagai wahana bagi orang ramai berkongsi cerita mereka.

Nizal berkata, penonton digalakkan berkongsi idea dan mengajukan saranan untuk pengisian kandungan program.

“Tamu dalam program ini juga tidak terhad hanya kepada warga tempatan. Kisah mereka daripada negara asing juga diketengahkan asalkan ia menarik, memberi inspirasi, mengilhamkan solusi dan membawa pengajaran,” jelasnya.

Demi menghidangkan kelainan kepada penonton, Nizal menekankan elemen suasana mesra, santai, ceria, berlibur dan bersahaja. Namun kandungan perbualan sarat terisi fakta, data dan menarik minda.

“Ada kalanya, bahan sembang boleh menjadi agak beremosi dan menyentuh perasaan tetapi ia memberi inspirasi dan penuh dengan nilai kemanusiaan sejati,” katanya.

Mengulas cabaran dalam mengendalikan program online yang semakin mendapat tempat dalam kalangan audien, Nizal berpendapat kandungan penyiaran digital yang begitu banyak menyebabkan penyediaan content menjadi kompetitif.

“Cabaran yang saya hadapi ialah untuk menyediakan bahan kandungan kreatif berkualiti, memenuhi minat serta keperluan penonton dan dapat meraih perhatian disamping tindak balas langsung audien secara rapat dan aktif,” katanya.

Bagi beliau, bahan kandungan yang berkualiti, bukan hanya terletak pada teknik persembahan, olahan penyampaian dan kecanggihan audio visualnya kerana pengisian editorialnya juga memainkan peranan penting.

“Memang bahan kandungan di platform penyiaran dalam talian begitu banyak tetapi sebahagian besarnya dibuat sekadar memenuhi keseronokan menyediakan bahan, barangkali bagi disensasikan atau sebagai bahan satira untuk berseronok menghibur diri,” kata Nizal.

Persoalannya, berapa banyak bahan kandungan dalam arena penyiaran televisyen yang benar-benar menarik, mencetuskan inspirasi, dorongan untuk menambah nilai kualiti kehidupan, memberi ilham penyelesaian dan saranan solusi kepada persoalan hidup masyarakat,? tegas beliau.

“Berapa banyakkah kandungan kreatif yang menggalakkan penyertaan inklusif massa di dalam melakukan perubahan positif meluas dan merata? Inilah cabaran yang perlu dihadapai dan akan menjadi penentu kepada peranan semua yang terlibat di dalam arena penyiaran sama ada konvensional atau dalam talian,” katanya.

Walaupun mencabar, TV dalam talian adalah lebih praktikal daripada segi kos, struktur penjadualan siaran dan kebebasan untuk berkarya.

“TV dalam talian jauh lebih interaktif dan penyertaan langsung penonton lebih mudah dan akses untuk berinteraksi secara terus dengan penonton itu membuatkan ia lebih rapat dan dekat dengan penonton.

“Selain itu, televisyen dalam talian tidak terikat kepada struktur penjadualan siaran yang ketat. Jadi, apabila bersiaran, sekiranya perbincangan begitu menarik maka ia boleh diperpanjangkan tanpa menjejaskan pengendalian siarannya,” kata Nizal.

Tambahnya lagi kos penyelenggaran televisyen dalam talian adalah jauh lebih rendah.

“Ini kerana teknologi penyiaran digital sudah berkembang begitu pesat. Peralatan penerbitan televisyen kini semakin canggih, ringan, mudah dan murah.

“Malahan, berdasarkan pengalaman Nizal & Co sendiri, kami pernah membuat rakaman siaran menggunakan telefon pintar (smartphone) sebagai kamera dan hasilnya memuaskan sekali. Penggunaan tenaga kru penerbitan juga tidak perlu ramai dan ini menjimatkan kos,” katanya.

Bagi Nizal potensi televisyen dalam talian tiada hadnya, tanpa kompromi dari segi kualiti.

“Terlalu banyak yang boleh dilakukan di dalam pentas Nizal & Co dan ilham kreativitinya semacam tiada noktah.

Zaman milenium ini memerlukan sudut pandangan kreatif berbeza, gagasan idea berwibawa dan segar. Penting adanya  penyelesaian baru dan unik, usaha yang berani dan bersungguh, tindakan strategik lebih dinamik, ilham yang lebih progresif dan berterusan serta  organisasi serta penggerak yang lebih luhur, bestari dan berwibawa,  katanya.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

66  −  57  =