Niat hendak sambung belajar kena betul

 Niat hendak sambung belajar kena betul
Oleh Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid

 

PEPERIKSAAN Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) telah pun berakhir bagi sesi persekolahan 2020. Sesungguhnya, pelajar tingkatan lima 2020 telah menerima ujian yang amat getir kerana sukar untuk dibayangkan bagaimana mereka harus belajar dalam suasana COVID-19 yang masih belum reda. Proses pembelajaran yang begitu berbeza dilihat sebagai suatu bentuk cabaran yang perlu dilalui. Namun, sekiranya mereka berjaya, sudah tentu ia akan menjadi suatu kenangan manis yang boleh dikongsi sehingga anak cucu dan menjadi sumber inspirasi pelajar lain.

Peperiksaan SPM ini juga boleh dikatakan “make or break” bagi seseorang individu. Disinilah suatu persimpangan yang amat penting dalam keputusan yang bakal dibuat terutamanya untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Hubungan antara pendidikan dan ekonomi sememangnya begitu rapat. Jika kita melihat fungsi pengeluaran, buruh adalah satu input yang penting bagi menggerakkan sesebuah jentera, mesin atau perkara yang berkaitan proses untuk mengeluarkan produk atau perkhidmatan. Oleh itu, buruh perlu memiliki ilmu bagi melaksanakan tugasan yang diberikan. Disinilah peranaan pendidikan dalam mendidik serta menyediakan pekerja terutama mereka yang mempunyai kemahiran teknikal, pengurusan serta bidang-bidang ikhtisas.

Disinilah peranan pendidikan bagi memastikan pelajar akan menjadi buruh yang akan membantu dalam meningkatkan pengeluaran di dalam negara kita. Melalui pendidkan juga ia seharusnya dapat menggalakkan pemikiran lebih kreatif yang mampu meningkatkan produktiviti bagi sesebuah organisasi. Namun, jika ditanya, kenapa seseorang itu ingin melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi, jawapan yang biasa kita dengar adalah untuk mendapatkan pekerjaan. Dengan pendidikan yang tinggi seperti mendapat segulung ijazah daripada universiti maka seseorang itu seolah-olah telah dijanjikan jawatan besar atau gaji lumayan.

Bagaimanapun, realitinya, kadar pengangguran di kalangan graduan masih tinggi. Ramai juga yang mengatakan masalah komunikasi terutama dalam medium Bahasa Inggeris adalah antara punca mengapa  graduan sukar mendapat tempat. Masalah keyakinan untuk berekspresi ketika ditemuduga serta kurang mengambil tahu isu semasa juga dilihat antara rungutan yang sering kita dengar di kalangan  majikan. Tidak kurang juga ada yang mengatakan “Alah takde degree pun boleh berjaya”. Ini disebabkan terdapat beberapa contoh  mereka yang tidak berpendidikan tinggi yang menjadi kaya raya hasil daripada usaha mereka dalam pelbagai bidang yang diceburi.

Justeru, ini adalah suatu persoalan yang amat penting yang perlu difikirkan sedalam-dalamnya supaya kita tidak membuat satu kesimpulan yang pincang. Benar, kadar penggangguran di kalangan graduan masih lagi tinggi. Tetapi, untuk kita mengatakan bahawa tidak perlu untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi juga adalah suatu pendapat yang perlu disangkal sekeras-kerasnya. Selain itu, perkaitan antara menjadi kaya dengan taraf pendidikan juga perlu di ketepikan sejauh-jauhnya. Ini adalah kerana tidak ada satu universiti atau institusi pendidikan yang menjanjikan kekayaan wang ringgit apabila mereka melanjutkan pelajaran. Namun inilah yang terjadi disebabkan suatu bentuk kekeliruan yang sering berlaku tanpa kita sedari. Ini boleh mengundang bahaya kerana seseorang yang berpelajaran tinggi akan menjadi kecewa sekiranya taraf pendidikan dikaitkan status kekayaan. Dikhuatiri mereka akan menyatakan kekesalan dan memberi nasihat yang salah seperti “tak payahlah belajar sampai universiti, tak kaya pun”. Pemikiran seperti ini boleh menyebabkan negara akan mundur dalam pelbagai bidang.

 


“Masyarakat kita seharusnya perlu memperbetulkan persepsi mengenai institusi pengajian tinggi atau IPT yang mana ia merupakan tempat bagi menghasilkan para graduan yang mempunyai keupayaan untuk berfikir dengan lebih baik serta dapat mencari jalan penyelesaian kepada setiap permasalahan secara tuntas.

“Dengan kata lain, IPT bukan sebuah kilang untuk menghasilkan pekerja. Ia gebuah gedung ilmu untuk membina suatu ketamadunan.”


 

Sebagai peringkat permulaan, membetulkan niat untuk melanjutkan pelajaran adalah satu perkara yang amat penting sebelum seseorang itu membuat keputusan untuk belajar ke peringkat  lebih tinggi. Sekiranya gaji yang lumayan menjadi sasaran utama, maka seseorang itu telah tersasar pemahamannya mengenai pendidikan. Mendapatkan pendidikan yang lebih tinggi seperti peringkat sijil, diploma, ijazah sarjana muda, ijazah sarjana dan doktor falsafah adalah untuk menjadikan seseorang itu lebih baik dari segi sudut pandangan dan kebijaksanaannya.

Dengan sudut pandang yang lebih baik dan diikuti pula dengan kebijaksanaan, maka sebarang bentuk masalah yang dihadapi akan dapat ditangani dengan cemerlang. Ini kerana setiap bidang yang dipelajari sudah tentu akan diajar mengenai selok belok mengenai cara pemikiran yang lebih kreatif demi mencapai satu penyelesaian yang tuntas. Sesi perbincangan, diskusi, pembentangan serta rujukan karya-karya sarjana yang terdahulu seharusnya akan dapat membentuk suatu pemikiran yang lebih seimbang dengan mengambil kira pelbagai aspek sebelum sesuatu keputusan itu diambil.

Justeru, masyarakat kita seharusnya perlu memperbetulkan persepsi mengenai institusi pengajian tinggi atau IPT yang mana ia merupakan tempat bagi menghasilkan para graduan yang mempunyai keupayaan untuk berfikir dengan lebih baik serta dapat mencari jalan penyelesaian kepada setiap permasalahan secara tuntas. Dengan kata lain, IPT bukan sebuah kilang untuk menghasilkan pekerja. Ia gebuah gedung ilmu untuk membina suatu ketamadunan.

Seperkara lagi, seseorang yang berilmu seharusnya datang dengan satu pakej yang menyeluruh. Ini bererti etika bekerja juga memainkan peranan dalam menentukan peluang untuk mendapatkan pekerjaan yang lebih baik. Sikap kerja berpasukan serta mementingkan kualiti dan menepati masa seharusnya dapat dipupuk ketika seseorang itu sedang belajar. Ini bermakna mendapat markah yang tinggi dalam setiap peperiksaan bukanlah matlamat mutlak apabila seseorang itu melanjutkan pelajaran yang tinggi. Ini bukan bermakna CGPA itu tidak penting. Tetapi apa yang hendak ditekankan disini ialah suatu bentuk keseimbangan agar graduan yang dihasilkan berdaya saing dan dicari oleh setiap majikan.

Disamping itu, seseorang itu perlu fleksibel dan berupaya melakukan pelbagai tugasan. Ini bererti kita tidak terlalu rigid dalam menentukan kerjaya yang mana kebiasaanya kerjaya yang diceburi akan berkait rapat dengan bidang yang dipelajari. Contohnya, graduan perakaunan hanya mahu menjadi akauntan dan pelajar undang-undang akan cenderung untuk menjadi peguam atau dalam bidang yang berkaitan. Sekiranya pemikiran seperti ini masih lagi berleluasa, maka tidak hairanlah kenapa ramai para graduan yang sukar untuk mendapatkan pekerjaan. Pemikiran untuk memilih pekerjaan berdasarkan bidang yang dipelajari hanya akan menyempitkan peluang bagi seseorang itu untuk maju ke hadapan.

Walhal, potensi seseorang manusia itu adalah begitu banyak dan tidak terhad kepada bidang yang dipelajari. Sebagai contoh, kerjaya dalam bidang jualan kurang diminati oleh graduan kerana kebiasaanya, pendapatan mereka adalah berdasarkan komisyen dan mereka perlu keluar untuk berjumpa dengan pelanggan. Sekiranya kita melihat sisi yang positif, kerjaya dalam bidang jualan akan meningkatkan jaringan atau netwok hubungan kita dengan orang-orang yang di luar sana yang mempunyai pelbagai latar belakang. Dengan kemahiran berkomunikasi yang baik, kita mungkin akan mendapat peluang pekerjaan yang lebih baik hasil daripada jaringan hubungan dengan pelanggan yang begitu meluas.

Oleh  demikian, seseorang yang berilmu seharusnya mempunyai sudut pandang yang baik dan rasional dan tindakan mereka pula akan berpaksikan kebijaksanaan. Sekiranya kita memilih untuk merungut dan sentiasa melihat sudut yang negatif, dikhuatiri kita tidak akan berjumpa dengan jalan penyelesaian kepada permasalahan yag dihadapi.

 

Penulis ialah Ketua Penganalisis Ekonomi, Bank Islam Malaysia Berhad

 

Related post

1 Comment

  • Hmmm

Leave a Reply

Your email address will not be published.

35  +    =  38