NGO puji langkah DBKL larang individu serah makanan terus kepada gelandangan.

 NGO puji langkah DBKL larang individu serah makanan terus kepada gelandangan.

Oleh Suraya Ali

KUALA LUMPUR, 16 April — Ketua NGO yang aktif mengagihkan makanan kepada golongan gelandangan di sekitar Ibu Kota memuji langkah DBKL melarang aktiviti itu sepanjang Ramadan.

Datuk Munirah Abdul Hamid

Datuk Munirah Abdul Hamid pengasas Pertiwi Soup Kitchen berkata larangan oleh DBKL itu akan membantu mengurangkan pembaziran dan pembuangan sampah yang tidak terkawal.

“Bukan sahaja di bulan Ramadan bahkan sepanjang tahun, berlaku pembaziran dan pembuangan sampah yang memburukkan imej Kuala Lumpur,” katanya.

Menurut Munirah, selain itu setiap tahun di bulan Ramadan pasti ada pihak yang mengambil kesempatan atas kerja kebajikan dijalankan.

” Pasti ada sahaja yang akan berswafoto dengan gelandangan tanpa memikirkan sensitiviti atau privasi mereka,” katanya.

Turut berkongsi pendapat sama ialah Pengasas Kembara Kitchen  William Cheah yang menyifatkan langkah DBKL itu sepatutnya dilakukan lama dahulu.

“Kami amat bersetuju kerana untuk pengetahuan anda, kami pernah melakukan tinjauan di jalan Hang Lekiu pada bulan Ramadan dan kami dapati antara jam 7 malam hingga 2 pagi pada hari bekerja, terdapat 13 kumpulan berbeza yang mengagihkan makanan di tempat yang sama kepada penerima yang sama,” katanya ketika dihubungi Wacana.my.

William Cheah

William mempersoalkan berapa banyak makanan boleh dimakan oleh seorang gelandangan jika 13 orang memberi makanan di tmpat yang sama, kepada penerima yang sama.

“Bayangkan jumlah pembaziran pada 1 malam, dan ini berlaku setiap malam pada hari bekerja dan berkali ganda pada hujung minggu,” katanya.

Jumaat lalu, DBKL dalam satu kenyataan berkata Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau mana-mana individu dilarang mengagihkan sumbangan makanan kepada gelandangan secara terus di sekitar pusat bandar raya sepanjang Ramadan.

DBKL memaklumkan kawal selia itu dilaksanakan bagi mengelak berlaku pembaziran dan kekotoran selain mengekang penularan wabak Covid-19.

Bagaimanapun, pengagihan makanan masih boleh diteruskan melalui dua pusat gelandangan iaitu di Pusat Transit Gelandangan Jalan Pahang dan Pusat Khidmat Gelandangan Medan Tunku, selain satu pusat komuniti iaitu Pusat Pembelajaran Komuniti, Chow Kit.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  +  29  =  37