Prestasi dagangan dijangka lebih RM2 trilion- Azmin Ali

 Prestasi dagangan dijangka lebih RM2 trilion- Azmin  Ali

Oleh TUN PUTEH WANTI

KUALA LUMPUR, 13 Jan 2022- Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, mahu Malaysia terus mengekalkan momentum bagi memastikan prestasi dagangan negara terus berada lebih RM2 trilion.

Beliau yakin Malaysia dijangka mampu merekodkan prestasi dagangan melebihi RM2 trilion pada tahun ini, sama seperti yang dicatatkan pada 2021.

“Prestasi dagangan dari Januari hingga November 2021 sudah melepasi RM2 trilion, kali pertama rekod sedemikian pernah dicatatkan oleh negara ini.

“INI pencapaian luar biasa khususnya eksport negara apabila dunia membuka sempadan, permintaan luaran meningkat dan syarikat tempatan perlu meningkatkan pengeluaran serta produktiviti masing-masing.

“Saya percaya prestasi dagangan negara untuk bulan Disember mampu merekodkan kira-kira RM100 bilion, sama seperti bulan sebelumnya.

“Ini menjadikan nilai keseluruhan dagangan negara untuk tahun 2021 kepada RM2.1 trilion dan kita harapkan ia dapat diteruskan untuk tahun ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan NextGen oleh BMW Malaysia di Kuala Lumpur anjuran BMW Group.

NEXTGen Malaysia mempamerkan produk canggih mesra alam di perkarangan Hotel Mandarin Oriental di sini selama tiga hari bermula jam 2 petang esok selama tiga hari.

Empat model baru kenderaan elektrik (EV) keluaran BMW iaitu The iX, The iX3, The i3S dan The iX4 antara tarikan utama pameran.

Selain itu kereta Mini Wolkswagen EV, The Frame Lifestyle TV, paparan QLed 8K dan banyak lagi bagi penggemar teknologi dan automotif.

Mengulas lanjut, Azmin berkata, perkembangan ini memberi ruang kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk mendapatkan hasil yang lebih besar dan kita menjangkakan prestasi ini akan berterusan untuk tahun 2022.

“Walaupun cabarannya besar tetapi kita perlu memastikan Malaysia kekal kompetitif. Produk dan perkhidmatan yang hendak kita bekalkan perlu kompetitif, antaranya menerusi penggunaan kaedah berasaskan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

“Perkara ini mesti ditekankan kepada pelabur dan syarikat tempatan sekiranya kita ingin kekal kompetitif di peringkat antarabangsa,” katanya.

Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali hadir merasmikan acara NEXTGen Malaysia bertemakan Kelestarian dan Mobiliti Berelektrik dianjurkan BMW Group Malaysia di Hotel Mandarin di sini hari ini

Berbalik kepada program NEXTGen Malaysia itu sebahagian usaha sama dengan Pusat Perubahan Iklim dan Teknologi Hijau Malaysia (MGTC), Tenaga Nasional Berhad (TNB), Siemens Malaysia, di samping Samsung Malaysia Electronics dan Glenfiddich by William
Grant & Sons.

Dalam pada itu, Pengarah Urusan BMW Group Malaysia, Hans de Visser berkata, apabila BMW i diperkenalkan di Malaysia tujuh tahun yang lalu, mereka telah membayangkan bahawa masa depan mobiliti elektro akan kelihatan seperti hari ini.

Dato’ Seri Azmin Ali sedang pandu uji kereta EV keluaran BMW

Selain berganding bahu dengan para penggiat industri dan menawarkan sokongan yang berterusan kepada agenda elektrifikasi negara, mereka juga ingin memperkasakan generasi Malaysia sebagai pembawa perubahan dalam aspek kelestarian sebagai pendorong utama bagi NEXTGen Malaysia.

“Seperti para rakan kongsi, kami juga percaya bahawa masa depan kita akan berlandaskan elektrik dan wujud keperluan bagi para pemegang tara untuk menggalas tanggungjawab secara bersama di setiap peringkat untuk
membangunkan solusi-solusi lestari demi hari esok yang lebih cerah.

Satu majlis penandatangan Memorandum Persefahaman (MOU) antara BMW Group Malaysia dan rakan-rakan kongsinya, MGTC, TNB, dan Siemens Malaysia, untuk melanjutkan usaha pembangunan ekosistem dan infrastruktur bagi Kenderaan Elektrik di Malaysia.


Ketua Pegawai Eksekutif MGTC, Ts. Shamsul Bahar Mohd Nor menyatakan, sementara kita memberi fokus untuk menggiatkan kemajuan teknologi hijau, pemupukan gaya hidup yang lebih lestari, kami juga percaya bahawa mobiliti lestari adalah kunci untuk merealisasikan matlamat gas rumah hijau sifar yang ingin dicapai oleh Malaysia menjelang 2050.

Usaha sama yang dijalin dengan BMW Group Malaysia untuk memacu penerimagunaan dan pelaksanaan elektrifikasi di dalam negara adalah sejajar dengan strategi kami bagi mobiliti karbon rendah,” katanya.


Manakala Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din berkongsi, “sebagai utiliti elektrik yang terbesar di Malaysia dan syarikat utiliti terkemuka di Asia, bertekad untuk memperkasakan rakyat Malaysia dengan solusi inovatif lagi lestari demi masa depan kita.

“Aspirasi menjadi peneraju dalam pembekalan solusi tenaga lestari di Malaysia dan di persada antarabangsa, bertunjangkan aspirasi ke atas Emisi Sifar Bersih menjelang 2050.

“Pengelektrifikasian mobiliti merupakan langkah yang seterusnya dalam sektor automotif, dan kami berasa teruja untuk menggiatkan pemupukannya di samping BMW Group Malaysia menerusi usaha sama jangka panjang kita bagi memudahkan akses ke atas infrastruktur pengecasan di seluruh negara.”katanya.


Tun Puteh Wanti

sangratu@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *