Nasi itik panggang pilihan berbuka Ramadan

 Nasi itik panggang pilihan berbuka Ramadan

Oleh Suraya Ali

IPOH, 17 April – Menjelang Ramadan 2021, pasangan suami isteri Amira Hanis Mohd Asri, 32  dan Razman Nazrin Shah Abdul Aziz, 33 semakin mendapat perhatian kerana menu unik mereka yang sinonim dengan masyarakat Cina.

Warung pasangan ini Ipoh Smokey Roasted Duck yang terletak di Manjoi, beroperasi sejak setahun lalu.

Menu utama – Nasi Itik Panggang dan Nasi Ayam menjadi bualan ramai kerana kelazatannya.

“Kami berniaga di sini sejak Julai 2020. Ini adalah resepi warisan dari keluarga suami, pada awalnya kami hanya berniaga dari rumah sahaja,” katanya ketika ditemui di warungnya di Restoran Alkaff, Manjoi di sini.

Menurut Amira yang juga seorang bekas wartawan penyiaran, beliau mengambil keputusan membantu suaminya berniaga kerana pada awal perniagaan mereka Disember 2019 tidak mampu menggaji pekerja selain kehilangan kerja di ibu kota.

“Kami membuat keputusan balik ke kampung dan mula berniaga secara kecil-kecilan. Alhamdulillah, kini perniagaan kami mendapat sambutan pelanggan,” katanya.

Tambah Amira, ada juga pelanggan dari luar Perak yang memesan itik panggang isitmewa hasil air tangan  beliau dan suami.

Menjelang Ramadan, Amira menjangkakan tempahan meningkat dan meminta pelanggan membuat tempahan awal bagi memudahkan urusan penyediaan.

“Menyediakan Itik Panggang tidak semudah Ayam Panggang. Ia memerlukan masa yang lama dan kerja yang rumit. Kami harus berhati-hati dan tidak melakukan kerja pintas agar kualiti dan rasa produk kami sentiasa terpelihara,” katanya.

Amira dan Razman amat mementingkan aspek kebersihan dan kepuasan pelanggan oleh itu segala tugas memasak dan menyediakan makanan dibuat sendiri.

“Pekerja hanya membantu menghantar makanan, kerana kami juga mengawal cara makanan dibungkus supaya rasa makanan itu kekal segar apabila sampai kepada pelanggan nanti,” katanya.

Pesara tentera, Azhar Hashim antara pelanggan tetap yang ditemui berkata, Nasi Itik Panggang dan Nasi Ayam di warung milik Amira dan Razman berbeza dari tempat lain kerana keenakkan dan nasi yang harum.

“Makanan di sini sedap, mereka fokus pada dua menu itu sahaja jadi mereka buat betul-betul dan jaga kualiti, sup yang dihidangkan bersama nasi tidak masin seperti ditempat lain dan sos mereka juga enak,” katanya.

Pelanggan Amira dari Selangor, Norhayati Mohamed berkata, beliau sanggup memesan hidangan Itik Panggang kepada rakan yang mempunyai urusan di Ipoh.

“Hampir setiap minggu jika ada rakan yang ada urusan ke sana saya akan kirim makanan dari Warung Smokey Roasted Duck, ia memang lain dari yang terdapat dikawasan saya,” katanya.

Amira berkata pelanggannya terdiri dari pelbagai kaum dan bangsa seperti Melayu, Cina dan India.

“Nasi itik panggang ini menjadi kegemaran semua kerana rasanya dan menu ini lengkap dihidang bersama sayuran menjadikannya pilihan utama pelanggan,” katanya.

Kepada peminat Itik Panggang dan Nasi Ayam, bolehlah mengunjungi warung Ipoh Smokey Roasted Duck di restoran Alkaff, dekat Manjoi.

Bagi yang berminat membuat tempahan sepanjang bulan Ramadan ini, boleh hubungi 018 281 9149.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  +  32  =  41