Nama Allah dan keharmonian keluarga

 Nama Allah dan keharmonian keluarga

PENGGUNAAN nama Allah sehingga membawa kepada pertikaian undang-undang di dalam negara kita diharapkan tidak akan merosakkan dasar kehidupan berkeluarga di dalam masyarakat pelbagai etnik di negara kita yang tercinta ini.

Di dalam bahasa Melayu dan sesuai dengan perspektif Islam, ALLAH ialah nama khusus bagi Tuhan Yang Maha Esa. Lihat tafsiran ayat 23-24 Surah Al Hashr (59) tentang sifat unik bagi ALLAH sebagai nama khas (Proper name) bagi Tuhan Islam. Dalam pengertian ini al-Quran menjelaskan bahawa Allah ialah Tuhan yang esa, yang mengetahui perkara-perkara yang ghaib, yang menguasai sekelian alam, bersifat dengan kekuasaan sendiri, tanpa bersekutu dengan kuasa yang lain. Allah yang menciptakan sekelian makhluk, yang terhadap-Nya sahaja dipersembahkan segala pujian dan kesyukuran bagi semua makhluk di langit dan di bumi, sebagai Tuhan yang amat bijaksana dan maha pemurah. (Descriptive definition of His Divine Essence and Holy Attributes)

Sepanjang sejarah kelahiran manusia, maka manusia mencari-cari siapakah TUHAN sebagai kuasa agong yang harus ditaati dan disembah. Oleh itu manusia menyembah planet alam, matahari umpamanya, malah menyembah sesama manusia, benda dan lembaga, haiwan dan objek lainnya.

Al-Quran menjelaskan tentang kisah Nabi Ibrahim, yang di antaranya, disebut di dalam al-Quran ayat 75-79 Surah Al An’am, bahawa Nabi Ibrahim cuba membuat keputusan tentang pencarian Tuhan, lalu akhirnya Nabi Ibrahim menemui Tuhan yang sebenarnya iaitu Allah sebagai Tuhan yang maha kuasa dan maha esa, yang tidak bersekutu dengan sebarang kuasa lain, iaitu ALLAH, yang diterangkan oleh al-Quran, bukan seperti yang ditafsirkan oleh para umat yang tidak beriman dengan Allah yang sebenarnya. (Verily, I have turned my face towards HIM, Who has created the heavens and the earth in pure monotheism, and I am not of the polytheists).

Nabi Ibrahim sendiri menegaskan kepada bapanya akan kesesatan mereka yang menjadikan berbagai lembaga sebagai Tuhan mereka, adakah patut bapa dan kawan-kawan bapanya itu berada di dalam kesesatan dengan menyembah sesuatu yang tidak mempunyai kuasa. Malah Nabi Ibrahim sendiri cuba-cuba mencari Tuhan dalam planet bumi dan langit, bulan dan matahari, tetapi akhirnya Baginda sendiri berputus asa kerana objek yang cuba digambarkan sebagai Tuhan, ternyata hampa dan tidak membuktikan sebagai Tuhan yang sebenarnya.

Dalam keadaan keyakinan Nabi Ibrahim inilah maka baginda dapat mengalahkan segala alasan dan hujah kaumnya yang menyembah selain dari Allah, kaumnya yang tidak beriman malah mencampuradukkan iman mereka dengan segala kezaliman, dan mensyirikkan Allah. Al-Quran seterusnya menyebutkan dalam konteks ini, bahawa Allah menganugerahkan hidayah kepada Nabi Ibrahim dan anaknya Ishak dan cucunya Yaakob, serta Nabi-Nabi yang lain dari keturunannya, termasuk Nabi Daud, Sulaiman, Ayub, Yusuf, Musa, Isa , Yahya, Ismail, dan Lut (Surah Al-An’am ayat 84-86)

Nabi besar Muhammad SAW sendiri dalam persemadiannya mencari Tuhan yang sebenarnya sentiasa yakin bahawa Tuhan yang sebenarnya ialah yang menjadikan sekelian alam ini. Baginda di dalam persemadiannya mencari Tuhan di  ‘bukit cahaya’ (Jabal Al-Nur) inilah menerima wahyu pertamanya, melalui Malaikat Jibrail yang diutuskan oleh Allah.

Baginda menerima wahyu dari Allah ketika baginda berusia 40 tahun, di dalam bulan Ramadan. Baginda pertama kali dihampiri oleh Malaikat Jibrail di bukit yang tersebut dan memintanya supaya membaca, dengan permintaannya ‘Bacalah kamu’, sedangkan Baginda merasa amat gerun ketika berhadapan dengan perintah itu dari malaikat, terutamanya diminta membaca sesuatu yang tidak pernah dilakukannya.

Baginda dengan itu menjadi Nabi dan Rasul yang terakhir kepada seluruh umat manusia, dan Malaikat Jibrail terus menerus menemuinya selama 23 tahun dengan perutusan dari Allah SWT membawa prinsip akidah, syariah dan akhlak, dan semuanya terkandung di dalam kitab suci al-Quran.

 Itulah sebenarnya pengakhiran pencarian Tuhan bagi manusia, dan menghapuskan segala penyembahan kepada kuasa lain, sama ada sebelum zaman perutusan Nabi Muhammad dan pada zamannya, malah seterusnya pada fasa kehidupan manusia di alam maya ini.

Hal ini semuanya dijelaskan di dalam Al-Quran, termasuk peristiwa kebangkitan semula manusia pada hari akhirat nanti. Semua perkembangan dan putaran hidup manusia di dalam ketiga-tiga zaman ini diperikan oleh kitab suci Al-Quran satu persatu dengan jelas dan berhikmah.

Kalimah Allah  ialah nama khusus bagi TUHAN yang Maha Esa bagi agama Tauhid, Islam, yang disembah oleh umat Islam, yang mengikrarkan ‘Bahawa Tiada Tuhan Melainkan Allah, dan Nabi Muhammad ialah Pesuruh Allah’.

Umat Islam beriman kepada Allah dan mengakui Nabi Muhammad sebagai Rasul terakhir dari Allah SWT dengan ilmu yang mendalam dari segi jasmani dan rohani, akal dan wahyu, lahir dan batin, dunia dan akhirat.

Penghayatan tentang  nama ALLAH haruslah mendapat pendedahan yang penting sejak dari zaman kanak-kanak dan dipertahankan hanya untuk Islam dalam sarwajagat bahasa dan akidah, world view agama Islam, bukan kerana faktor yang lain.

Agama yang dianuti oleh kepelbagaian umat dan kelompok manusia bukanlah  merupakan komoditi untuk mengelirukan umat dan kelompok yang lain, kerana Islam jelas menerangkan bahawa jawapan Islam terhadap kekeliruan ini ialah ajaran dari Allah sendiri yang dijelaskan oleh Nabi Muhammad kepada manusia semua ‘Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agama ku’, Surah Al-Kafirun ayat 1-6.

Datuk Wira Dr Ismail Ibrahim

wira@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *