Najib buat laporan polis berhubung dakwaan cubaan sembunyi bukti kes 1MDB

 Najib buat laporan polis berhubung dakwaan cubaan sembunyi bukti kes 1MDB

Datuk Seri Najib Tun Razak

KUALA LUMPUR, 27 Nov — Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini membuat laporan menggesa polis menyiasat dakwaan cubaan pentadbiran Pakatan Harapan menyembunyikan bukti daripadanya berhubung kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC International.

Najib berkata beliau kecewa mengapa tiada agensi siasatan mendedahkan penglibatan keluarga bekas gabenor Bank Negara itu dalam kes 1MDB.

“Pendedahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bahawa sekurang-kurangnya RM65 juta dana berkaitan 1MDB yang diambil balik dari Singapura disimpan syarikat milik suami kepada bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) adalah mengejutkan.

“Media turut melaporkan, RM700 juta dipindahkan ke akaun bank yang dikaitkan dengan bekas gabenor BNM itu sejak 2007 sehingga 2013,” katanya kepada media.

Katanya, beliau lebih kecewa dengan pendedahan bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas bahawa beliau mengetahui transaksi sedemikian semasa memegang jawatan.

“Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Wan Junaidi Tuanku Jaafar pula pada jawapannya di Parlimen Isnin lalu berkata, polis dan pihak berkuasa hanya tahu dana berkaitan 1MDB yang diambil balik dari Singapura disimpan syarikat milik suami bekas Gabenor BNM, pada 2019…kini sudah hampir penghujung 2021.

“Maklumat sedemikian tidak pernah dimaklumkan kepada saya dan pasukan undang-undang saya untuk digunakan dalam pembelaan saya di mahkamah walaupun maklumat tersebut menjadi bahan kepada pembelaan saya dalam kedua-dua kes SRC dan 1MDB saya,” katanya.

Najib membuat laporan polis itu di IPD Dang Wangi untuk meminta pihak polis menyiasat jika terdapat cubaan sengaja untuk menyembunyikan bukti material daripada saya dan semua rakyat Malaysia oleh beberapa individu penting semasa dan bekas dalam AGC dan SPRM yang dilantik semasa pentadbiran PH.

Zuan Azmi

zuan@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

73  −    =  69