• Sunday, 20 June 2021, 3:30 pm

MySPC diaktifkan semula – PM

 MySPC diaktifkan semula – PM

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mempengerusikan mesyuarat MySPC Selasa lalu. Foto FB Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR, 9 Jun —  Majlis Perlindungan Sosial Malaysia (MySPC) diaktifkan semula menyelaras agenda kesejahteraan sosial yang menyeluruh dan bersepadu khususnya agenda menangani kemiskinan.

Mesyuarat yang dipengerusi oleh Perdana Menteri kali ini menumpukan kepada agenda peluasan dan pemantapan Program Jaringan Keselamatan Sosial Negara. Foto FB Muhyiddin Yassin

MySPC yang ditubuhkan pada 2016 dan kali terakhir bermesyuarat pada Disember 2019 dianggotai 15 kementerian, Ketua Setiausaha Negara, Gabenor Bank Negara dengan Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri selaku urusetia.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mempengerusikan mesyuarat MySPC melalui sidang video, semalam.

“Mesyuarat kali ini menumpukan kepada agenda peluasan dan pemantapan Program Jaringan Keselamatan Sosial Negara antaranya melalui cadangan penambahbaikan dan perluasan skim perlindungan oleh PERKESO kepada kelompok yang tidak diliputi oleh mana-mana jaringan keselamatan sosial,” katanya dalam sebuah kenyataan.

Muhyiddin berkata beliau juga memberi penekanan kepada keperluan Pangkalan Data Perlindungan Sosial (PDPS) merentas  agensi yang meliputi elemen pekerjaan, insuran sosial dan bantuan sosial.

Pangkalan data ini bakal menjadi rujukan tunggal program dan profil perlindungan sosial negara.

“Ini bertepatan dengan hasrat saya yang mahu satu pendekatan baharu yang lebih berkesan dalam menyediakan liputan perlindungan sosial lebih menyeluruh terutamanya kepada kumpulan rentan dapat disediakan,” katanya.

Tambah beliau, rakyat yang terkesan dengan pandemik COVID-19 serta kelompok yang tidak diliputi oleh mana-mana jaringan keselamatan sosial negara seperti mereka yang berada dalam sektor tidak formal dan persendirian perlu dikenal pasti keperluan masing-masing agar bantuan segera yang bertepatan dapat diberikan.

Muhyiddin berkata beliau yakin lebih banyak isi rumah kategori miskin atau miskin tegar dapat dibantu dan dilindungi dengan jaringan keselamatan sosial negara yang diperkukuh dan diperluaskan melalui MySPC.

Bantuan sosial yang diberikan juga tidak terhad kepada bantuan tunai atau pemberian bakul makanan sahaja sebaliknya, meliputi aspek mobiliti sosial serta nilai tambah yang boleh meningkatkan pendapatan mereka.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *