MYSA saran 3 langkah jika jumpa serpihan roket China Long March 5B

 MYSA saran 3 langkah jika jumpa serpihan roket China Long March 5B

KUALA LUMPUR, 8 Mei – Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) memaklumkan ramalan terkini bahawa ‘re-entry’ roket Long March 5B milik China akan jatuh ke bumi adalah pada 7 Mei jam 09:34 sehingga 9 Mei jam 15:34 waktu Malaysia.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan mengambil langkah langkah berikut sekiranya mengesyaki atau melihat kejadian re-entry tersebut iaitu tidak menyentuh atau mengambil sebarang objek yang mencurigakan yang disyaki daripada kejadian re-entry ini.

“Kedua, hubungi talian kecemasan ‘999’ dan buat laporan sewajarnya (laporkan pemerhatian, saksi, lokasi dan masa). Adalah lebih baik sekiranya rakaman video dapat dibuat pada ketika kejadian bagi membantu penyiasatan kelak.

“Ketiga, jangan buat sebarang hebahan dan sebarkan sebarang maklumat palsu yang berkaitan re-entry ini. Sebarang maklumat rasmi yang telah disahkan hanya akan dihebahkan melalui media massa oleh pihak berkuasa sahaja,” kata MYSA dalam satu kenyataan hari ini.

Orang ramai juga boleh menghubungi MYSA (03-26972570) untuk memaklumkan perkara yang sama.

Kenyataan MYSA menyebut, sisa roket masih mengorbit dan semakin menurun menghampiri re-entry zone dengan status ketinggian terkini (Sabtu) roket itu ialah 198.30 kilometer daripada paras laut dan ramalan lokasi re-entry antara latitud 41.5° Utara dan latitud 41.5° Selatan.

Roket Long March 5B dilancarkan pada 29 April 2021 untuk menghantar modul teras (core module) stesen angkasa China yang dinamakan Tianhe dan seberat 22,600kg ke orbit pengoperasiannya di angkasa.

Bagaimanapun, peringkat teras (core stage) roket Long March 5B telah mencapai ketinggian yang cukup tinggi untuk mengorbit bumi selepas penghantaran modul Tianhe.

Orbit sisa roket ini merupakan orbit jenis elips dengan ketinggian paling dekat 170km dan ketinggian paling jauh 372km daripada paras laut muka bumi.

Disebabkan seretan atmosfera (atmospheric drag) yang kuat pada orbit ini, sisa roket ini dijangka akan re-entry ke muka bumi dalam beberapa hari selepas penghantaran tersebut.

“Lokasi re-entry sebenar sisa roket ini tidak dapat diramal dengan tepat sehingga beberapa jam sebelum re-entry berlaku. Berdasarkan prinsip saintifik, kebiasaannya akan terdapat unsur-unsur ketidakpastian yang berkaitan bagi sebarang pengukuran atau ramalan yang dihasilkan.

“Dalam kebanyakan kes re-entry ke ruang atmosfera, ketidakpastian yang berkaitan bagi ramalan lokasi re-entry adalah sangat besar disebabkan perubahan kadar ketumpatan lapisan atas atmosfera, sifat fizikal objek re-entry seperti jisim dan komposisi bahan, serta lokasi dan kelajuan objek tersebut.

“Setiap pelancaran roket kebiasaannya akan meninggalkan serpihan (debris). Saiz serpihan itu bergantung kepada saiz roket yang dilancarkan.

“Memandangkan saiz roket Long March 5B agak besar, maka serpihan yang berkemungkinan akan terhempas ke bumi juga adalah besar,” kata kenyataan MYSA lagi.

Bagaimanapun, sebahagian besar serpihan itu akan musnah terbakar di atmosfera dan berkecai menjadi serpihan kecil. Hanya serpihan yang tidak terbakar sepenuhnya sahaja yang akan jatuh ke bumi.

“Orang ramai tidak perlu terlalu bimbang terhadap bahaya objek re-entry ini kerana kebarangkalian objek ini untuk menimpa manusia atau merosakkan mana-mana struktur bangunan adalah sangat rendah memandangkan 70% daripada muka bumi adalah terdiri daripada air dan keluasan kawasan Malaysia adalah kecil berbanding dengan keluasan muka bumi.

 

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

87  +    =  88