Myanmar: Junta perlu beri tempoh masa yang jelas untuk kuasa dikembalikan kepada kerajaan

 Myanmar: Junta perlu beri tempoh masa yang jelas untuk kuasa dikembalikan kepada kerajaan

Oleh Voon Miaw Ping

KUALA LUMPUR, 1 Mei — Junta tentera Myanmar mesti memberikan tempoh masa yang jelas untuk menyerahkan kembali kuasa kepada kerajaan, kata bekas pensyarah Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, Prof Dr Aruna Gobinath.

Katanya jangka masa itu penting bagi membolehkan proses mencari penyelesaian konstruktif yang diusahakan ASEAN dapat dilaksana dengan berkesan.

“Perlu ada jangka masa. ASEAN harus ada pendirian, berapa tahun dari sekarang? Mereka (junta) kata pilihan raya akan diadakan akhir tahun ini. Adakah benar ia akan berakhir hujung tahun ini dengan COVID-19 yang semakin teruk?

“Saya fikir kita harus tegaskan kembali (mengenai tempoh masa) sama ada ia setahun atau lebih,” katanya dalam program Bernama TV ‘The Nation’ membincangkan topik ‘Myanmar dan ASEAN’, Jumaat lalu.

Aruna menambah dialog yang dicadangkan bagi mencari penyelesaian terhadap krisis politik di Myanmar juga harus melibatkan semua pihak termasuk kumpulan pembangkang dan minoriti di negara itu.

Beliau berkata menyisihkan mana-mana kumpulan boleh memburukkan lagi keadaan.

“Bagi saya, bukan hanya berbincang dengan Jeneral Kanan Min (Aung Hlaing). Kita perlu mendengar mereka (kumpulan pembangkang dan lain-lain) dan lihat bagaimana kita dapat bantu mereka mencari penyelesaian, bermakna semua pihak mesti sepakat,” katanya.

Menurutnya, mengenakan sekatan terhadap Myanmar bukanlah penyelesaian terbaik untuk mengakhiri krisis.

Myanmar dilanda pergolakan politik dan pertumpahan darah sejak junta dipimpin Min melakukan rampasan kuasa pada 1 Februari. Sehingga kini, tentera telah membunuh lebih 700 orang awam.

Meskipun dilaporkan junta akan mengadakan pilihan raya dan menyerahkan kuasa kepada parti yang menang, junta belum menetapkan tarikhnya.

Pada 24 April Mesyuarat Khas Pemimpin ASEAN diadakan untuk membincangkan krisis itu, diadakan di Sekretariat ASEAN di Jakarta, Indonesia, turut dihadiri Min.

Lima konsensus telah dicapai termasuk menghentikan segera keganasan di Myanmar, memulakan dialog konstruktif antara semua pihak, membenarkan akses utusan khas dan delegasi ke Myanmar untuk bertemu dengan semua pihak yang berkaitan.

Pemimpin ASEAN juga bersetuju akan memberikan bantuan kemanusiaan kepada Myanmar melalui Pusat Penyelarasan Bantuan Kemanusiaan ASEAN mengenai pengurusan bencana (AHA).

ASEAN ditubuhkan pada 1967, terdiri 10 negara anggota iaitu Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.

 

 

Bernama

bernama@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

22  −  14  =