Muzakarah khas bincang SOP rapatkan saf solat jemaah

 Muzakarah khas bincang SOP rapatkan saf solat jemaah

KUALA LUMPUR, 18 Okt — Muzakarah Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam (MKI) pada Rabu ini (20 Okt) akan membincangkan isu prosedur operasi standard (SOP) mengenai aktiviti masjid dan surau, termasuk cadangan merapatkan susunan saf ketika solat berjemaah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad berkata beliau telah meminta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk mengatur muzakarah itu bagi mendengar taklimat penilaian risiko semasa COVID-19 oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

Katanya, ia susulan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung peralihan fasa dan kelonggaran SOP Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Saya percaya suatu keputusan demi maslahah umum akan dapat dicapai dan berharap aktiviti masjid dan surau khususnya solat berjemaah seperti sediakala akan dibenarkan dengan SOP tertentu,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Selain KKM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Idris berkata semua ahli muzakarah yang terdiri daripada mufti negeri serta ahli-ahli yang dilantik dalam kalangan pakar turut dijemput hadir dalam muzakarah itu.

Pada Jumaat lepas, Arab Saudi mengumumkan solat berjemaah dengan kapasiti penuh dibenarkan di Masjidil Haram, Makkah dan Masjid Nabawi, Madinah bermula hari ini (17 Okt).

Fazlan

fazlan@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *