Murtabak opor 6 bahan rahsia Jamilah laris

 Murtabak opor 6 bahan rahsia Jamilah laris

Oleh Mohd Fikri Mie

PEKAN, 26 April – Keenakan rasa yang dianggap istimewa dan menyelerakan menjadikan murtabak opor Pekan mendapat sambutan menggalakan terutama setiap kali Ramadan.

Jamilah Abdul Rahman menyediakan murtabak opor yang mendapat sambutan hangat pelanggan

Pengusahanya, Jamilah Abdul Rahman, 59, berkata penggunaan campuran rempah yang dihasilkan sendiri dan diadun dengan enam bahan lain membuatkan murtabak berkenaan mendapat permintaan yang begitu menggalakan daripada pelbagai lapisan masyarakat di sini serta beberapa daerah di sekitar.

Beliau berkata, pada Ramadan kali ini beliau mampu menjual antara 150 hingga 200 keping murtabak opor sehari selain murtabak biasa dengan harga RM12 hingga RM15. Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilalui ketika ini tidak banyak menjejaskan jumlah jualan.

Menurutnya, pengalaman lebih 30 tahun menjual murtabak berkenaan dengan jenama ‘Ismaliza Murtabak Hause’ memberi kelebihan kepada produknya sehingga diterima pengguna sepanjang masa.

“Saya sendiri menghasilkan resipi opor menggunakan beberapa campuran rempah yang biasa digunakan oleh tukang masak untuk menyediakan hidangan daging opor yang hanya terkenal di daerah ini sahaja.

“Walaupun terdapat persaingan namun saya yakin kelebihan yang ada pada murtabak opor ayam dan daging yang saya buat tidak ada pada murtabak lain menyebabkan produk berkenaan mendapat tempat dihati pengemarnya,” katanya, di sini.

Setakat ini hanya Jamilah yang menghasilkan murtabak opor. Restoran Ismaliza beroperasi di bangunan Lembaga Kemajuan Negeri Pahang (LKNP) di sini bermula 3 petang hingga 7 malam.

Jamilah menyambung kemahiran membuat murtabak dan roti canai daripada arwah suaminya. Ketika ini beliau dibantu dua pekerja termasuk anak perempuannya, Sha’arbanu Ismail. Beliau turut menjual murtabak opor dan murtabak biasa sejuk beku.

 

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *