Mulakan program kembali ke tempat kerja pasca COVID-19

 Mulakan program kembali ke tempat kerja pasca COVID-19

Majoriti pekerja kini sudah biasa menyelesaikan tugas bukan di tempat kerja. Foto – Hiasan

KUALA LUMPUR, 9 Okt — Pada zaman pandemik COVID-19 ini, ramai pekerja telah terpaksa bekerja secara maya dari jarak jauh atau bekerja di rumah daripada bekerja di pejabat.

Firma penyelidikan pasaran Ipsos menyatakan bahawa kadar bekerja di rumah Malaysia adalah 65 peratus jika dibandingkan kadar global 52 peratus. Jadi, tidak dapat dinafikan – pandemik ini telah mengubah cara kita hidup dan bekerja.

Setelah berbulan-bulan, malah ada yang bertahun bekerja di kediaman sendiri dengan selesa, kini ramai pekerja perlu kembali ke tempat kerja kerana lebih banyak entiti dibenarkan untuk beroperasi secara fizikal.

Malangnya, kembali ke tempat kerja boleh membawa banyak cabaran kepada pekerja. Perkara yang sama dapat dikatakan ketika membiasakan diri dengan rutin pejabat, di samping menyelesaikan tugas-tugas yang berkaitan dengan pekerjaan di rumah atau secara maya sebelum ini.

Majoriti pekerja kini sudah biasa menyelesaikan tugas bukan di tempat kerja.

Kajian daripada Prodoscore, sebuah syarikat perisian keterlihatan pekerja dan Envoy mendapati, 47 peratus pekerja lebih produktif bekerja dari rumah pada Mac sehingga April 2020 berbanding masa yang sama pada 2019 dan 68 peratus pekerja risau akan keselamatan dan kesihatan mereke jika perlu ke tempat kerja semula.

Oleh itu, bagi melancarkan peralihan, majikan perlu membuat perubahan khusus di tempat kerja sama ada fizikal, polisi, dan pendekatan mereka terhadap hubungan dengan pekerja.

Majikan boleh mengadakan pembukaan awal atau “soft opening” dengan jendela program pembukaan tersebut sekurang-kurangnya satu bulan.

Ini adalah masa yang berkesan untuk membawa balik perkakas dan peralatan pejabat yang dipinjamkan dan mengalu-alukan kedatangan pekerja ke ruang bekerja.

Ini juga membolehkan pekerja kembali bertemu dengan rakan-rakan sekerja lain dan memulakan peralihan mental dan emosi semula secara berkesan.

Ia juga dapat meredakan kegelisahan semula jadi dengan cara yang sama seperti sesi orientasi ketika anak anda pergi ke sekolah baru.

Selain itu, setelah bekerja secara bersendirian untuk jangka masa yang panjang, pekerja perlu menghidupkan semula ikatan sosial dengan pasukan mereka.

Aktiviti interaktif seperti keraian dan perayaan adalah cara terbaik untuk sesi pengenalan kembali dan memupuk interaksi peribadi secara tidak rasmi.

Namun harus diingat bahawa amalan norma baharu perlu ditekankan. Ramai pekerja ingin kembali berhubung dengan rakan sekerja mereka, ini dibuktikan oleh Clutch di mana dapatan kajian mereka mendapati 63 peratus pekerja merindui aktiviti bersosial disebabkan bekerja secara maya.

Namun, sebaik sahaja kembali ke pejabat, disebabkan kebiasaan bekerja secara sendiri, pekerja mungkin juga akan merasa tekanan untuk tidak terlalu terganggu dengan pekerjaan mereka.

Walaupun ada kerja yang harus diselesaikan dan kita tidak boleh melupakannya, jadikanlah keutamaan untuk menekankan kepentingan meluangkan masa bersosial dengan rakan lama dan mengenal rakan yang baru.

Dengan memastikan pengamalan norma baharu yang baik, antara aktiviti yang boleh dijalankan adalah makan bersama di tempat kerja, mengadakan aktiviti sukan senamrobik bersama, permainan ringkas dan lain-lain lagi.

Aktiviti-aktiviti ini mungkin memerlukan sedikit masa untuk menyesuaikan diri dengan berjumpa orang secara fizikal dan bukannya pada skrin komputer secara maya.

Mungkin akan ada juga rakan sekerja yang sudah berubah gaya penampilan setelah sekian lama bekerja secara maya.

 

Ditulis oleh Prof Madya Ts Dr Mohamad Fahmi Bin Hussin (UiTM), Prof Madya Ir Ts Dr Juliana Johari (UiTM), Dr Khairilmizal Samsudin (USM), Ainul Husna Kamarudin (UniKL)

 

suraya ali

suraya@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *