Mula empat, kini Salleh punyai 200 kambing

 Mula empat, kini Salleh punyai 200 kambing

Oleh Iqhram Ahmad

PONTIAN, 1 April – Walaupun tidak mempunyai kelayakan pendidikan tinggi namun usaha cekal menternak bermula dengan empat ekor kambing sejak tamat persekolahan sehingga sekarang telah membuahkan hasil lumayan untuk Mohd Sallehuddin Mohd Rashid, 29.

Beliau adalah pengusaha susu kambing segar jenama Peladang Benut dan Salleh Diary Farm dengan perisa jagung, strawberry, kurma dan coklat. Selain pasaran setempat, produk ini kini meluas sehingga Melaka, Kajang dan Kuala Lumpur.

Bagi memastikan kualiti yang terbaik, kambing ternakannya diperiksa setiap hari

Anak jati Jalan Parit Ismail dekat Benut ini, kini mengecapi kejayaan yang diidam-idamkan dan dengan perolehan kira-kira lima angka sebulan, anak muda ini mampu memberikan kesenangan buat keluarga.

“Saya mula meminati bidang ternakan sejak pindah dari perumahan taman ke rumah kampung di Benut, di sini, pada 2009. Kerana minat yang mendalam itu akhirnya ibu bapa saya mendahulukan wang mereka untuk saya memulakan usaha  ini.

“Ketika saya mengambil peperiksaan STPM pada 2010, saya akan terus ke kandang dan menjenguk  ternakan sebaik habis sesi persekolahan. Ketika itu, saya hanya mempunyai empat ekor kambing yang dibeli daripada penternak sekitar Pontian.

“Pada mulanya, perniagaan saya khusus kepada penjualan daging kambing atau aqiqah dan korban. Pada 2015, saya mula menyedari keperluan untuk menjual sendiri susu kambing selain keuntungan yang lebih lumayan berbanding menjual dagingnya,” katanya kepada Wacana.my.

Menurut Sallehuddin, beliau telah berberlanja sebanyak RM80,000 untuk memulakan perniagaan ternakan kambing. Modal itu digunakan untuk makanan, ubatan, peralatan, membina kandang serta menambahkan bilangan kambing.

Kini, beliau mempunyai 200 ekor kambing dengan pengeluaran susu sebanyak 1,200 liter sebulan untuk diproses dan dijadikan minuman tenusu yang dianggarkan kira-kira 4,500 botol sebulan.

Beliau turut bercadang untuk meluaskan ruang kandangnya yang seluas 4,000 kaki persegi itu serta menambahbaik projek sedia ada.

Sallehuddin berkata, kelebihan susu kambing berbanding susu lembu adalah ianya tidak berasa hamis serta tidak berbau.

Salleh menggunakan jenama Salleh Dairy Farm dan Peladang Benut sebagai jenama produk susu kambingnya

Selain itu, susu kambing mempunyai khasiat yang lebih tinggi dan sesuai untuk dijadikan minuman kesihatan.

“Setiap susu yang dikeluarkan akan melalui proses ‘pastor’ terlebih dahulu untuk mematikan kuman supaya susu selamat untuk diminum. Proses ini amat penting bagi menjaga kualiti, keselamatan dan kebersihan susu,” katanya.

Tambah beliau, produk keluaran pihaknya adalah segar, asli dan tidak mempunyai sebarang campuran yang boleh menghilangkan kualiti susu.

Sallehuddin menegaskan, bidang penternakan ini amat mencabar kerana perlu fokus selain mempunyai ilmu mengenai penternakan, perniagaan serta pemasaran.

“Kerja ini ibarat rutin harian, tiada hari cuti. Setiap hari, saya akan memulakan rutin seawal jam 8 pagi untuk memerah dan memproses susu selain memberikan makan ternakan.

“Kami juga akan membuat rondaan pada waktu malam untuk memeriksa keadaan kambing atau jika apa-apa berlaku,” katanya yang bekerjasama rapat dengan pihak veterinar Pontian.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

5  +  2  =