MUIP sumbang Hospital Pekan peralatan perubatan RM97,000

 MUIP sumbang Hospital Pekan peralatan perubatan RM97,000

Asmadi (kiri) pada majlis penyerahan peralatan perubatan bernilai lebih RM97,000 kepada Hospital Pekan.

PEKAN, 29 Ogos — Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) menyediakan peralatan perubatan bernilai lebih RM97,000 kepada Hospital Pekan, di sini.

Bantuan membabitkan satu unit alat imbasan (Ultrasound Scanner) dan dua unit ‘Syringe Pump’ yang amat diperlukan hospital berkenaan.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP, Dr Asmadi Abdul Rahman berkata, sumbangan diberikan itu untuk kemudahan merawat pesakit yang sedang menjalani rawatan di Hospital Pekan.

“Setiap tahun MUIP menyediakan bantuan kepada hospital dan klinik kesihatan di negeri ini membabitkan beberapa jenis peralatan yang diperlukan, namun mereka bertanggungjawab menyediakan kertas cadangan permohonan peralatan diperlukan.

“Pada Mac lalu MUIP memberi bantuan peralatan perubatan bernilai RM973,152 kepada hospital dan klinik kesihatan di negeri ini sebagai usaha meringankan beban pusat kesihatan terbabit,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan peralatan perubatan bernilai lebih RM97,000 kepada Hospital Pekan yang diterima oleh Timbalan Pengarah Hospital Pekan, Dr Izra Safwan Ali Aziz, pada Jumaat.

Hadir sama Pengarah Hospital Pekan, Dr Fadilla Norli Muhamad.

Asmadi berkata, MUIP memberi satu unit alat imbasan (Ultrasound Scanner) dan dua unit ‘Syringe Pump’ kepada Hospital Pekan bagi tujuan melancarkan lagi tugas kakitangan hospital di bahagian berkenaan.

“Saya difahamkan alat berkenaan amat diperlukan terutama selepas Hospital Pekan kini dinaik taraf kepada hospital pakar, kita akan mempertimbangkan bantuan lain selepas ini.

“Bantuan diberikan hasil bayaran zakat, justeru lebih banyak wang diterima lebih banyak bantuan diberikan kepada mereka yang layak,” katanya

Mohd Fikri Mie

Fikri@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

4  +  2  =