MUIP sumbang barangan RM75,000 kepada tiga PKRC

 MUIP sumbang barangan RM75,000 kepada tiga PKRC

Antara barangan bantuan bernilai RM75,000 yang diberikan MUIP untuk diagihkan kepada tiga Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Kuantan

Oleh Mohd Fikri Mie

KUANTAN, 12 Jun – Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) memberi sumbangan makanan dan barangan bernilai RM75,000 kepada tiga Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) di daerah ini.

Bantuan diberikan melalui Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) yang bertanggungjawab menguruskan dan memberi rawatan kepada pesakit di pusat berkenaan sejak ia dibuka.

Ketua Pegawai Eksekutif MUIP, Datuk Ahmad Hairi Hussain, berkata pelbagai jenis barangan disediakan antaranya biskut, mee segera, milo dan air mineral. Turut diberikan, cecair mandian termasuk berus serta ubat gigi.

Menurutnya, sumbangan turut membabitkan 60 naskah Al-Quran termasuk kain pelikat, kain batik, tuala, sejadah, telekung wanita, cecair pembasmi kuman (hand sanitizer) dan pelitup muka.

Ketua Pegawai Eksekutif MUIP, Datuk Ahmad Hairi Hussain (dua dari kanan) menyerahkan bantuan kepada Timbalan Pengarah Pengurusan HTAA, Zai Akmal Arawi yang akan diagihkan kepada tiga Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Kuantan

“Makanan dan barangan yang dibekalkan ini akan diagihkan kepada pesakit dan petugas di tiga PKRC di daerah ini. Ia diharap dapat meringakan beban golongan terbabit.

“Sebelum ini MUIP turut menyediakan peruntukan khas lebih RM7,000 bagi menyediakan makanan kepada pesakit dan petugas di PKRC,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan bantuan berkenaan kepada Timbalan Pengarah Pengurusan HTAA, Zai Akmal Arawi, di sini semalam. Hadir sama Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP, Dr Asmadi Abdul Rahman.

Ahmad Hairi berkata, MUIP sentiasa berusaha mengurangkan tekanan ditanggung pesakit COVID-19 yang kini sedang dirawat. Bantuan dihulur diharap dapat mengembalikan semangat mereka yang terjejas selepas disahkan dijangkiti wabak merbahaya itu.

Menurutnya, sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 tahun lalu, hampir setiap minggu MUIP memberi bantuan keperluan asas kepada golongan yang terjejas. Agihan dilakukan pegawai MUIP cawagan daerah dan negeri.

“Kita akan terus berusaha menghulurkan bantuan kepada golongan memerlukan dalam usaha meringankan beban mereka yang terkesan disebabkan wabak COVID-19 di bandar serta kampung.

“Terbaharu kita memperkenalkan skim Bantuan Prihatin Zakat (BPZ) sekali bayar antara RM200 hingga RM300 setiap individu. Permohonan secara dalam talian akan tamat Ahad ini,” katanya sambil menyeru mereka yang layak untuk segera memohon.

Mohd Fikri Mie

Fikri@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

33  +    =  43