MUIP sumbang alatan perubatan RM238,560 kepada HTAA

 MUIP sumbang alatan perubatan RM238,560 kepada HTAA

KUANTAN, 20 Januari 2022 – Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) menyumbang peralatan perubatan termasuk dua Unit Mesin Hemodialisis bernilai lebih RM238,560 kepada Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini semalam.


Bantuan peralatan perubatan lain turut diberikan termasuk Sistem Transurethral Resection (TUR), Defibrillator, Portable X-Ray dan Electrocautery.


Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP, Dr Asmadi Abdul Rahman berkata, sumbangan diberikan itu untuk kemudahan mengesan penyakit termasuk merawat pesakit yang sedang menjalani rawatan di HTAA.


“Setiap tahun MUIP menyediakan peruntukan khas bagi membantu hospital dan klinik kesihatan di Pahang membabitkan beberapa jenis peralatan yang diperlukan, namun mereka bertanggungjawab menyediakan kertas cadangan permohonan peralatan yang diperlukan.

Pakar Nefrologi Jabatan Nefrologi HTAA,
Dr Mohd Kamil Ahmad menunjukan rawatan yang disediakan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).


“Kita tidak mempunyai kepakaran dalam bidang perubatan, justeru setiap cadangan yang dikemukakan akan dinilai sebelum disediakan,” katanya pada Majlis Penyerahan Peralatan Perubatan dan Ziarah Prihatin MUIP di HTAA, semalam.


Turut sama Pakar Nefrologi Jabatan Nefrologi HTAA, Dr Mohd Kamil Ahmad. Sempena program berkenaan MUIP turut menyampaikan hamper dan wang tunai bernilai RM94,000 kepada 400 pesakit yang sedang menerima rawatan di hospital berkenaan.


Asmadi berkata, tahun lalu MUIP memberi bantuan peralatan perubatan bernilai RM973,152 kepada hospital dan klinik kesihatan di negeri ini sebagai usaha meringankan beban pusat kesihatan terbabit yang memberi perkhidmatan kepada rakyat.


Beliau berkata, dia difahamkan peralatan perubatan yang diberikan kepada HTAA amat diperlukan bagi merawat pesakit termasuk mengesan penyakit, pihaknya akan mempertimbangkan bantuan lain selepas ini.


“Bantuan peralatan perubatan yang diberikan merupakan hasil bayaran zakat pembayar zakat di negeri ini, justeru lebih banyak wang diterima lebih banyak bantuan dapat diberikan kepada mereka yang layak.


“MUIP sentiasa berusaha membantu golongan asnaf termasuk mangsa bencana seperti banjir, ribut dan kebakaran termasuk golongan terkesan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.

Mohd Fikri Mie

Fikri@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

49  −  44  =