MUIP sedia RM1.8 juta untuk rawatan dan alatan perubatan

 MUIP sedia RM1.8 juta untuk rawatan dan alatan perubatan

Alat bantuan pernafasan berharga lebih RM5,900 disumbangkan kepada kanak-kanak Mohd Hisyamuddin Mohd Asri yang menghidap penyakit berkaitan paru-paru.

KUANTAN, 8 Januari 2022 – Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) telah membelanjakan sebanyak RM1.8 juta bagi menyediakan kemudahan rawatan termasuk bantuan peralatan perubatan tahun lalu.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP, Dr Asmadi Abdul Rahman berkata, seramai kira-kira 873 individu di Pahang berpeluang menerima bantuan dibawah program kesihatan asnaf itu.


Menurutnya, mereka yang terbabit mengidap pelbagai jenis penyakit kronik selepas disahkan oleh doktor di hospital kerajaan dan memerlukan rawatan lanjut termasuk pelbagai peralatan perubatan.


Katanya, antara peralatan perubatan yang disumbangkan oleh MUIP kepada pesakit dibawah program kesihatan asnaf ialah kerusi roda, alat bantuan pernafasan, tilam dan katil.Turut disediakan anggota palsu dan sumbangan kewangan bagi kes tertentu sahaja.


“Kita sentiasa berusaha menyediakan peralatan perubatan secepat mungkin kepada mereka yang terbabit, dalam masa sehari hingga tiga hari bergantung kepada tempat tinggal pemohon dan bekalan peralatan yang diperlukan.


“Golongan asnaf amat memerlukan bantuan perubatan termasuk peralatan perubatan kerana mereka tidak mampu kerana kesempitan hidup termasuk pendapatan yang tidak mengcukupi,” katanya.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP, Dr Asmadi Abdul Rahman menyerahkan bantuan alat bantuan pernafasan kepada kanak-kanak Mohd Hisyamuddin Mohd Asri di Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) Bukit Rangin.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan alat bantuan pernafasan kepada kanak-kanak Mohd Hisyamuddin Mohd Asri, 7 di Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) Bukit Rangin, di sini, semalam.

Asmadi berkata, kanak-kanak berkenaan amat memerlukan bantuan berkenaan selepas alat bantuan pernafasan miliknya rosak akibat bencana banjir besar akhir tahun lalu.


Katanya, dia menghidap penyakit berkaitan paru-paru sejak berusia enam bulan dan sebelum ini sering dimasukkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini bagi tujuan rawatan.

“Harga alat bantuan pernafasan berkenaan lebih RM5,900, dengan bantuan berkenaan diharap dapat menyelesaikan masalah dihadapi bapa Mohd Hisyamuddin yang bekerja sebagai pengawal keselamatan dengan pendapatan sekitar RM1,400 sebulan.

“MUIP akan terus berusaha membantu golongan asnaf di negeri ini membabitkan bantuan sara hidup setiap bulan termasuk perubatan dan peralatan perubatan yang diperlukan,” katanya.

Mohd Fikri Mie

Fikri@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

49  −    =  48