MUIP bela nasib komuniti lorong Wong Ah Jang

 MUIP bela nasib komuniti lorong Wong Ah Jang

KUANTAN, 16 Jun – Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) menyediakan peruntukan sebanyak RM144,300 untuk membantu komuniti lorong Wong Ah Jang, di sini yang terkesan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun ini.

Kawasan berkenaan yang terletak ditengah pusat bandar ini sebelum ini begitu terkenal dengan pelbagai kegiatan tidak bermoral selain penagihan dadah dan pusat hiburan.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP, Dr Asmadi Abdul Rahman berkata peruntukan berkenaan disediakan dalam tempuh lima bulan tahun ini membabitkan antaranya penyediaan juadah berbuka puasa dan sumbangan duit raya.

Menurutnya, bantuan lain turut disediakan kepada komuniti lorong Wong Ah Jang ialah menyediakan makanan ketika PKP, sumbangan peralatan memasak, pemberian baju raya dan makanan untuk sarapan pagi.

Katanya, komuniti lorong Wong Ah Jang amat memerlukan bantuan terutama apabila mereka tidak dapat bekerja sepanjang PKP, ramai dikalangan mereka terputus bekalan makanan disebabkan tidak ada pendapatan.

Mee goreng menjadi hidangan sarapan pagi komuniti lorong Wong Ah Jang.

“Kita perlu membantu komuniti berkenaan kerana mereka sedang dalam kesempitan hidup, dalam masa yang sama sewa bilik perlu dibayar dan keluarga perlukan makanan setiap hari.

“Kehidupan komuniti lorong Wong Ah Jang kini seolah berubah apabila semua aktiviti dilarang yang terkenal sebelum ini tidak lagi dapat dilakukan berikutan PKP yang berlarutan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengagihkan sarapan pagi kepada komuniti lorong Wong Ah Jang, di sini semalam.

Dr Asmadi berkata, untuk mendekatkan komuniti berkenaan dengan ajaran Islam pihaknya menyediakan surau menggunakan bangunan kedai termasuk kemudahan tandas dan tempat mengambil wuduk termasuk penghawa dingin.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP, Dr Asmadi Abdul Rahman mengagihkan makanan sarapan pagi kepada komuniti lorong Wong Ah Jang.

Menurutnya, semua kemudahan yang diberikan bertujuan untuk memastikan komuniti lorong Wong Ah Jang tidak terus terbabit dengan aktiviti tidak bermoral seterusnya kembali kepangkal jalan secara ikhlas hati bukan paksaan.

“Kita ingin melihat mereka bertaubat dan insaf dengan perbuatan lalu seterusnya dapat mendalami ilmu agama dan solat di surau sambil belajar membaca Al Quran dengan tenaga pengajar.

“Tumpuan didikan agama turut diberikan kepada golongan kanak-kanak generasi kedua komuniti di situ,” katanya yang akan terus memantau komuniti ditempat berkenaan.

Tambahnya lagi, MUIP turut menyediakan elaun bulanan khas kepada individu yang benar-benar insaf untuk kembali ke jalan membina hidup baharu meninggalkan pekerjaan tidak bermoral yang pernah dilakukan sebelum ini.

Mohd Fikri Mie

Fikri@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

55  −    =  50