MUIP bela nasib komuniti lorong Wong Ah Jang

 MUIP bela nasib komuniti lorong Wong Ah Jang

KUANTAN, 24 Jun- Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP, Dr Asmadi Abdul Rahman meninjau bilik mengambil air sembahyang di surau Al Hidayah yang baharu disediakan untuk komuniti lorong Wong Ah Jang.Foto WMY/Mohd Fikri Mie

KUANTAN, 24 Jun – Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) kini dalam fasa pertama program pembangunan insan komuniti lorong Wong Ah Jang, di sini.

Kawasan berkenaan yang terletak ditengah pusat bandar ini sebelum ini begitu terkenal dengan pelbagai kegiatan tidak bermoral selain penagihan dadah dan pelayan pusat hiburan.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP, Dr Asmadi Abdul Rahman berkata pelbagai aktiviti keagamaan sedang dan akan diadakan dalam usaha memberi kesedaran kepada komuniti berkenaan untuk tidak terus bergelombang dengan kegiatan terlarang.

Menurutnya, fasa pertama dilakukan dengan menyediakan surau al Hidayah yang boleh memuatkan 20 hingga 30 jemaah dalam satu masa, seorang guru agama disediakan yang turut akan mengajar membaca al Quran.

surau Al Hidayah yang disediakan untuk komuniti lorong Wong Ah Jang. Foto WMY/Mohd Fikri Mie

Katanya, peruntukan sebanyak RM20,000 disediakan untuk membina tandas dan tempat mengambil air sembahyang, sewa surau yang terletak dibangunan kedai itu selama setahun sebanyak RM13,800 turut disediakan.

“Untuk keselesaan jemaah menunaikan solat, mengikuti kuliah agama dan belajar membaca al Quran di surau Al Hidayah beberapa unit penghawa dingin berharga RM20,000 turut diberikan.

“Matlamat utama MUIP menjayakan program pembangunan insan komuniti lorong Wong Ah Jang ialah untuk memberi sinar baharu kepada golongan berkenaan yang sebelum ini terbabit dengan kegiatan tidak bermoral selain penagihan dadah dan pelayan pusat hiburan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau pembinaan tandas dan tempat mengambil air sembahyang di surau Al Hidayah lorong Wong Ah Jang, di sini semalam.

Dr Asmadi berkata, untuk menarik minat komuniti lorong Wong Ah Jang menyertai kelas Al Quran MUIP akan menyediakan elaun kehadiran buat ketua isi rumah, pada yang layak mereka juga berpeluang menerima elaun bulanan.

Surau Al Hidayah yang disediakan untuk komuniti lorong Wong Ah Jang supaya mereka tidak terus terbabit dengan aktiviti tidak bermoral. Foto WMY/Mohd Fikri Mie

Katanya, bagi golongan kanak-kanak kemudahan pendidikan serta asrama disediakan bagi memastikan mereka tidak ketinggalan dalam bidang akademik yang akan dapat membela nasib keluarga.

“Bagi ketua keluarga yang ingin membina kehidupan baharu seterusnya terbabit dalam bidang perniagaan, bantuan modal akan disediakan mengikut jenis perniagaan yang ingin diceburi.

“Matlamat utama MUIP ialah untuk memastikan komuniti lorong Wong Ah Jang membina kehidupan baharu yang lebih bermakna,” katanya yang akan terus memantau perkembangan komuniti ditempat berkenaan.

Mohd Fikri Mie

Fikri@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  +  59  =  66