Muhyiddin umum pakej Permai RM15 bilion

 Muhyiddin umum pakej Permai RM15 bilion

Oleh Suraya Ali

Intipati Pakej Bantuan Khas PERMAI 2021 (18 Januari)

KUALA LUMPUR, 18 Jan — Perdana Menteri hari ini mengumumkan satu pakej bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia atau PERMAI bernilai RM15 bilion.

Tan Sri Muhyiddin Yassin, menjelaskan pakej bantuan PERMAI bertujuan menambah baik inisiatif sedia ada yang masih berterusan dan juga mempercepatkan pelaksanaan inisiatif yang berkaitan. “Sebanyak 22 inisiatif akan dilaksanakan di bawah PERMAI yang berteraskan kepada tiga matlamat utama iaitu; pertama; Memerangi Wabak COVID-19; kedua; Memelihara Kebajikan Rakyat; dan ketiga; Menyokong Kelangsungan Perniagaan,” katanya ketika menyampaikan ucapan Pakej Bantuan Khas yang disiarkan secara langsung petang ini.

Bagi tujuan memerangi wabak COVID-19, Muhyiddin berkata kerajaan telah menyediakan dana tambahan sebanyak RM1 bilion termasuk hampir RM800 juta kepada Kementerian Kesihatan, dan selebihnya kepada Majlis Keselamatan Negara serta berapa agensi lain yang terlibat.

Beliau turut mengumumkan kerajaan akan mempercepatkan bayaran bantuan prihatin rakyat atau BPN2.0 bermula 21 Januari melibatkan 11.1 juta penerima yang bakal menerima bayaran sebanyak RM2.38 bilion.

Dalam ucapannya, Perdana Menteri turut mengumumkan lanjutan untuk beberapa inisiatif yang telah diumumkan sebelum ini iaitu lanjutan Tempoh Capaian Internet Percuma, pelepasan cukai khas sehingga RM2,500 ke atas pembelian telefon bimbit, komputer dan tablet, Tempoh Pengecualian Cukai Jualan ke atas Kenderaan Penumpang serta Tempoh Moratorium bagi Peminjam PTPTN.

Turut dilanjutkan adalah bantuan moratorium pinjaman bank atau pengurangan bayaran balik pinjaman yang akan diteruskan sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Bagi membantu sektor perniagaan, Muhyiddin berkata kerajaan telah bersetuju untuk menambah baik Program Subsidi Upah 3.0 di bawah PERKESO.

“Semua majikan yang beroperasi dalam PKP layak untuk memohon, tanpa mengambil kira sektor. Untuk tempoh satu bulan, majikan yang layak akan menerima subsidi upah berjumlah RM600 bagi setiap pekerja mereka yang bergaji kurang dari RM4,000,” katanya.

Selain itu, had 200 pekerja bagi setiap permohonan juga akan ditingkatkan kepada 500 orang pekerja.

Untuk maklumat lanjut, layari Portal Manfaat Belanjawan 2021 di http://belanjawan2021.treasury.gov.my/manfaat

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

36  −    =  27