Muhyiddin Tidak Pertahan DUN Bukit Gambir

 Muhyiddin Tidak Pertahan DUN Bukit Gambir

SHAH ALAM – Presiden BERSATU Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak akan mempertahankan kerusinya dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang akan diadakan tidak lama lagi susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) itu.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata, beliau menyerahkan kerusi N.9 Bukit Gambir itu kepada tokoh lain untuk menerajuinya kerana mahu memberi tumpuan kepada pentadbiran di peringkat pusat dan pengurusan parti.

“Saya mungkin tidak akan bertanding, tetapi terserah kepada pimpinan di atas sebab mahu menumpukan sepenuh masa pada soal yang lebih utama iaitu di peringkat Parlimen atau pusat dan menguruskan parti serta menyampaikan mesej perjuangan kita (PN) dan sebagainya.

“Jadi saya hendak beri peluang kepada ramai lagi tokoh-tokoh di Johor terutama untuk kerusi itu dan saya serah kepada mereka nantilah siapa yang hendak mengisi, itu kita akan putuskan kemudian,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Bersatu Negeri Johor hari ini.

Turut hadir dalam mesyuarat itu Setiausaha BERSATU Johor, Datuk Dr. Sahruddin Jamal dan Ahli Parlimen Mersing yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad.

Johor menyaksikan siri PRN seterusnya selepas Sabah, Melaka dan Sarawak apabila Menteri Besarnya, Datuk Hasni Mohamad memaklumkan Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menandatangani watikah pembubaran DUN pada Sabtu lalu.

Tindakan perisytiharan pembubaran DUN itu dibuat selepas kerajaan negeri dilihat tidak stabil kerana hanya mempunyai majoriti satu kerusi.

Dalam pada itu, Muhyiddin yang merupakan Perdana Menteri Ke-8 itu turut memaklumkan partinya bersedia untuk menampilkan calon-calon muda dalam PRN itu yang akan diadakan dalam tempoh 60 hari.

“Ya, memang kita hendak beri peluang, memang saya faham bahawa sekarang ini adalah masa anak-anak muda, tetapi gabungan muda, lama dan matang agak wajar, tidak ada satu parti akan letak semua orang muda dan ketepikan orang lama.

“Tetapi, itu belum muktamad di peringkat awal, nanti bila senarai calon itu dikemukakan baik oleh Srikandi, Armada, anak muda dan parti-parti gabungan, saya rasa kita perlu beri perhatian kepada perkara itu, insya-Allah,” ujarnya.

Susulan itu, parti berkenaan dilapor mengadakan Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertingginya (MPT) pada malam ini.

Yang dilihat hadir seperti Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin dan Ketua Armada, Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

WMY

WMY@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  −  1  =  1