Muhyiddin gagal? Sebenarnya mereka bertiga yang gagal

 Muhyiddin gagal? Sebenarnya mereka bertiga yang gagal

Oleh: Putra Ahmad

MASIH lagi kedengaran ‘kerajaan gagal’ meluncur dari mulut segelintir ahli politik yang tak habis-habis mempertikaikan usaha kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk menyelesaikan kemelut pandemik COVID-19 dalam negara.

Siapakah segelintir itu? Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Cuma mulut tiga ahli politik ini sahaja kata gagal. Sekali lagi, benarkah ‘kerajaan gagal’?

Gagal bererti apabila negara yang dipimpin Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama jemaah menteri tiba-tiba berhenti di tengah jalan, mengalah dan tidak mengambil tanggungjawab atas tindakan tersebut, dalam erti kata lain ‘lepas tangan’.

Mulut tiga ahli politik ini cuma memesongkan agar rakyat lihat bahawa kerajaan ini gagal menangani COVID-19 dengan baik, gagal soal ekonomi dan sosial, hingga berlaku perebutan kuasa politik.

Jika gagal tadbir urus COVID-19 dengan baik, masakan negara mampu mencapai vaksinasi sehingga 420,000 dos sehari?

Jika gagal tadbir urus COVID-19 dengan baik, masakan negara yakin capai sasaran imuniti kelompok menjelang akhir tahun?

Jika gagal tadbir urus COVID-19 dengan baik, masakan negara boleh buka Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di seluruh negara, terutama tumpuan di Lembah Klang?

Cukup tiga persoalan di atas, adakah kerajaan hari ini telah ‘lepas tangan’? Belum sentuh soal lain lagi.

Ironinya, usaha nak ‘memvaksinkan’ rakyat dan usaha mahu capai imuniti kelompok menjelang akhir tahun, ‘dibawangkan’ oleh mulut tiga ahli politik ini.

Motif? Rakyat sedia maklum Ahmad Zahid dan Najib sedang menghadapi perbicaraan kes mahkamah, dan Anwar sedang menanti ruang serta waktu untuk menggapai cita-cita politik.

Ini talian hayat mereka terakhir dalam politik.

Kerana, jika segala usaha kerajaan nyatakan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) itu dapat dicapai, maka apa lagi bangkangan yang mereka mahu rungutkan. Apa lagi ‘mileage’ politik yang mereka bertiga tinggal?

Selain BERSATU, PAS dan UMNO, terbaharu, DAP, PKR dan AMANAH, antara parti komponen utama Pakatan Harapan (PH), hadir dalam Sesi Konsultasi PPN bersama Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

BERSATU
PAS
UMNO
DAP
AMANAH
PKR

Tatkala seteru politik kerajaan ini boleh ‘bersatu’ memberikan pandangan dan penambahbaikan untuk kerajaan lakukan tanpa mengira latar belakang politik untuk dibincangkan dalam Majlis Pemulihan Negara, sekali gus menafikan ciri-ciri yang Ahmad Zahid, Najib dan Anwar gambarkan iaitu ‘kerajaan gagal’.

Selagi kerajaan sedang ‘berusaha’, itu bukan tanda kegagalan.

Tanda kegagalan adalah apabila tiga mulut ahli politik ini hanya asyik bicara ‘kerajaan gagal’ sedangkan mereka tidak berbuat apa-apa untuk bantu kerajaan, dalam konteks kebersamaan politik memerangi COVID-19, mereka itu sebenarnya ‘gagal’.

 


Putra Ahmad merupakan seorang penganalisis politik yang pernah berkhidmat di beberapa agensi media tempatan dan kini sedang melanjutkan pengajian sarjana dalam bidang Sains Politik.


 

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *