MUDA kini parti politik sah

 MUDA kini parti politik sah

KUALA LUMPUR, 29 Disember : Presiden Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengumumkan parti itu telah didaftarkan secara rasmi oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) pada 23 Disember lalu.

Ahli Parlimen Muar itu berkata pengumuman berkaitannya tidak dapat dibuat lebih awal kerana kepemimpinan tertinggi MUDA pada tarikh berkenaan dan sehingga hari ini masih sibuk membantu mangsa banjir di seluruh negara untuk menyalurkan bantuan.

“MUDA ini parti yang berkhidmat dan keutamaan kita adalah untuk berkhidmat kepada rakyat dan masyarakat.

“Kita tidak ingin krisis banjir ditenggelamkan dengan berita politik iaitu pendaftaran MUDA.

“Sebab itu kita mengambil ketetapan untuk fokus dahulu (bencana banjir), kita pun berada di seluruh Malaysia untuk misi banjir bagi meringankan beban rakyat,” katanya.

Pada 14 Disember lalu, Mahkamah Tinggi memerintahkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) membenarkan MUDA didaftarkan sebagai parti politik dalam tempoh 14 hari, serta membayar kos sebanyak RM10,000.

Sebelum itu, MUDA mengambil tindakan undang-undang untuk mencabar keputusan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang menolak rayuan mereka untuk didaftarkan sebagai sebuah parti politik.

Syed Saddiq turut menjelaskan, MUDA bukanlah parti yang bermotifkan politik balas dendam dan merebut kuasa sebaliknya untuk memastikan Malaysia menjadi sebuah negara Maju tanpa mengetepikan rakyat berbilang bangsa dan agama. MUDA turut disifatkan sebagai parti masa hadapan.

Difahamkan lagi, keahliannya sudah melebihi 60,000 orang dan ia terbuka kepada semua peringkat umur, bukan terhad kepada generasi muda semata-mata.

Orang ramai yang berminat boleh mendaftar melalui laman web muda.my dan beliau menjamin prosesnya adalah mudah dan telus tanpa birokrasi.

Irmamusliana Mustajab

emma@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *