MRC komited kembangkan industri getah ke persada dunia

 MRC komited kembangkan industri getah ke persada dunia

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Getah Malaysia, Nor Hizwan Ahmad

KUALA LUMPUR, 13 Dis — Majlis Getah Malaysia (MRC) komited untuk mengembangkan industri getah ke persada dunia khasnya kepada pekebun-pekebun kecil getah bagi membantu mempromosi produk hasil getah Malaysia ke persada antarabangsa.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nor Hizwan Ahmad, visi MRC adalah untuk menjadikan Malaysia sebagai pengeksport utama produk getah dunia dengan kualiti yang stabil.

Katanya, MRC akan terus membantu industri getah untuk mengenal pasti peluang dan meningkatkan akses kepada pasaran getah melalui inisiatif-inisiatif mereka, antaranya promosi dan pembangunan pasaran.

“MRC menyediakan ada informasi yang berguna buat mereka, kita akan bantu mereka, ada yang perlu dipimpin tangannya, ada yang masih lagi memerlukan input terkini dalam industri (getah), dan kita sediakan beberapa jenis dana yang bersesuaian untuk penyelidikan dan pembangunan.

“Selain itu, kita juga menyediakan pembangunan kapasiti untuk mengukuhkan hubungan dengan industri getah dan biasiswa untuk melatih bagi membawa industri getah Malaysia menjadi satu industri berteknologi tinggi. Oleh itu kita akan menyiapkan industri ini dengan pelajar-pelajar yang ada latar belakang yang sesuai dengan industri getah dan industri pembuatan ini. Akhirnya mereka boleh terus berkhidmat kepada industri ini.

“Ini adalah inisiatif yang kita jalankan agar industri ini berkembang dengan lebih baik di masa hadapan,” katanya.

Hizwan berkata, Malaysia merupakan pengeksport sarung tangan getah terbesar dunia dan eksport getah sehingga suku ketiga tahun ini, Malaysia telah mencapai nilai eksport sebanyak RM60 billion berbanding hanya RM31 billion pada tahun 2020.

“Biarpun pada ketika ini dunia dilanda pandemik COVID-19 namun sebenarnya industri getah telah berkembang pesat. Produk getah Malaysia meningkat hampir kepada 102 peratus. Lonjak permintaan itu menjadikan industri getah mengalami pertumbuhan pesat dari segi eksport hasil produk.

Menurut Hizwan, tiga destinasi eksport Malaysia adalah Amerika Syarikat, Jerman dan Jepun.

“Ini membuktikan betapa relevannya industri getah Malaysia kepada dunia yang mempunyai potensi besar untuk dikembangkan. MRC akan cuba sedaya upaya bekerjasama dengan agensi-agensi lain untuk menjayakannya.

“Amanat Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Hajjah Zuraida Kamaruddin mahu semua komoditi dalam negara perlu bekerjasama sebagai satu pasukan untuk memastikan agri-komoditi walaupun bukan menjadi penyumbang industri utama negara namun tetap kekal sebagai antara penyumbang terbesar negara. Hasilnya perlu disalurkan kembali kepada mereka yang membangunkan industri ini dari awal dahulu,” kata Hizwan yang dilihat komited untuk memikul tanggungjawab yang ditugaskan kepada beliau.

Zuan Azmi

zuan@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  +  18  =  25