MPKPs berhak ubah peraturan operasi bazar Aidilfitri untuk cegah COVID-19

 MPKPs berhak ubah peraturan operasi bazar Aidilfitri untuk cegah COVID-19

Oleh M A Akid

KANGAR, 8 Mei – Majlis Perbandaran Kangar (MPKPs) berhak mengubah peraturan operasi di bazar Aidilfitri sekiranya perjalanan bazar itu didapati mengugat pematuhan prosedur operasi standard (SOP) sehingga tercetusnya penularan jangkitan COVID-19.

Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Perlis, Arif Helmi Junid berkata, walaupun terdapat arahan daripada Kerajaan Pusat yang membenarkan bazar Aidilfitri boleh beroperasi sehingga jam 2 pagi, ia boleh diubah mengikut kesesuaian sesuatu pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

“Ini semua tertakluk kepada PBT, jika MPKPs merasakan operasi bazar Aidilfitri di negeri ini hanya dibenarkan beroperasi sehingga jam 12 tengah malam, ia tidak ada masalah dan boleh dilakukan.

“Apa yang lebih ketat dan apa yang diputuskan oleh Kerajaan Persekutuan itu sebenarnya tidak menimbulkan sebarang isu kerana bazar Ramadan atau Aidilfitri ini adalah tertakluk di bawah bidang PBT,” katanya.

Beliau berkata selepas menghadiri Program Taklimat Keselamatan Negara: Isu-Isu Semasa berkaitan COVID-19 dan Majlis Berbuka Puasa di sebuah restoran di Jalan Santan, di sini semalam.

Pada masa sama, pihaknya meihat kesedaran tinggi terhadap pematuhan SOP di tempat awam dalam kalangan masyarakat di Perlis berkemungkinan menjadi faktor jumlah penularan jangkitan COVID-19 di negeri itu masih berada dalam keadaan rendah dan terkawal.

“Untuk statistiknya, ia hanya boleh dikeluarkan oleh Ketua Polis Negeri namun begitu, kita (MKN) nampak umumnya orang Perlis masih ada kesedaran terutama apabila berada di tempat awam.

“Sebab itu kita lihat pada awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terutama di bazar Ramadan di negeri ini, apabila ramai bersesak,  akan ada aduan daripada orang awam itu sendiri yang khuatir sekiranya berlaku jangkitan penularan COVID-19 ini.

“Oleh demikian, Majlis Mesyuarat Negeri dan kita membuat ketetapan bahawa penggunaan nombor giliran pada bazar Ramadan di negeri ini supaya menghadkan bilangan pengunjung yang datang ke bazar ini dan langkah ini dibuat bertujuan untuk kita menjaga peniaga di bazar Ramadan itu,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya melihat jika berlaku penularan jangkitan COVID-19 di bazar Ramadan, ia bukan disebabkan salah peniaga di situ.

“Sebaliknya, ia adalah salah pengunjung yang tidak mahu mematuhi SOP yang ditetapkan. Jadi bagi mencegah perkara berkenaan terjadi, kita sudahpun mengambil langkah awal dengan mengetatkan kemasukan ke bazar Ramadan melalui sistem nombor giliran.

“Oleh itu, kita sering mengingatkan dan mewajibkan rakyat Perlis agar sentiasa mematuhi SOP walau di mana jua berada,” katanya.

Terdahulu, Arif Helmi menyampaikan taklimat berkenaan keadaan COVID-19 di negara ini serta perkembangan proses vaksinasi yang sedang dijalankan pada waktu ini.

Perlis ada negeri tunggal di negara ini yang mencatatkan jumlah penulran jangkitan COVID-19 di bawah paras 500 kes di mana hanya 376 sahaja yang dicatatkan sehingga semalam.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  +  19  =  20