MPFN platform strategik perancangan pembangunan

 MPFN platform strategik perancangan pembangunan

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR, 21 Okt — Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) platform strategik perancangan pembangunan fizikal yang mencerminkan hasrat serta hala tuju negara bagi memanfaatkan Keluarga Malaysia.

Hari ini, MPFN ke-39 meluluskan dua dasar utama berkaitan perancangan bandar dan desa.

Kelulusan tersebut melibatkan Rancangan Fizikal Negara Ke-4 (RFN4) dan Rancangan Fizikal Zon Persisiran Pantai Negara-2 (RFZPPN-2) yang disediakan di bawah peruntukan Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172).

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam satu kenyataan berkata, MPFN ke-39 turut bersetuju terhadap Cadangan Penubuhan Jawatankuasa Perancang Wilayah bagi Negeri-Negeri di Utara Semenanjung Malaysia melibatkan Pulau Pinang, Kedah, Perak dan Perlis.

“RFN4 ini disediakan untuk menentukan arah tuju pemajuan fizikal termasuk ekonomi, alam sekitar dan sosial bagi seluruh kawasan perancangan di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Datuk Seri Ismail Sabri mempengerusikan Mesyuarat MPFN ke-39 hari ini dengan penyertaan semua menteri besar dan ketua menteri.

“Pelaksanaan RFN4 memerlukan penglibatan pelbagai pihak di setiap peringkat perancangan dan pembangunan, sama ada di peringkat Kerajaan Persekutuan, negeri atau tempatan,” katanya hari ini.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, mesyuarat turut bersetuju dengan cadangan penubuhan Jawatankuasa Perancang Wilayah (JPW) bagi negeri-negeri di utara Semenanjung Malaysia.

“Fungsi utama JPW adalah untuk menyelaraskan isu-isu perancangan yang merentasi sempadan dua negeri atau lebih serta menasihati kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan dalam wilayah itu mengenai rancangan pemajuan yang sesuai bagi wilayah tersebut.

“Ini adalah JPW keempat yang dipersetujui cadangan penubuhannya oleh MPFN, selepas JPW bagi Kawasan Persempadanan Antara Negeri Sembilan, Melaka dan Johor (JPW NSMJ); JPW bagi Kawasan Tanah Tinggi Cameron Highlands, Kinta dan Lojing (JPW CEKAL); dan JPW bagi Kawasan Persempadanan Antara Daerah Pekan-Kuantan-Kemaman-Dungun-Jerantut (JPW PAKADJ),” katanya.

suraya ali

suraya@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *