Moto3: Penyertaan Binder langkah bijak – Razlan

 Moto3: Penyertaan Binder langkah bijak – Razlan

Darryn Binder di Doha baru-baru ini

KUALA LUMPUR, 13 April — Pelumba Kejuaraan Moto3 Darryn Binder telah memberi impak segera sejak kemunculannya bersama Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT) baru-baru ini.

Binder menaiki podium berturut-turut pada dua perlumbaan pertama musim 2021 setakat ini setelah berjaya menduduki tempat ketiga dalam perlumbaan pembukaan musim 2021 di Grand Prix (GP) Qatar pada Mac dan meneruskan prestasi baiknya dengan muncul tempat kedua dalam GP Doha awal April, kedua-duanya berlangsung di Litar Antarabangsa Losail, Qatar.

Datuk Razlan Razali

Prinsipal pasukan Petronas SRT Datuk Razlan Razali berkata penyertaan pelumba Afrika Selatan ke dalam pasukannya musim ini terbukti sebagai langkah bijak.

Razlan berkata sasaran berikut pasukannya ialah untuk membantu membentuk Binder, 23, menjadi pelumba utama apabila musim perlumbaan melabuhkan tirai November ini.

“Kami sangat gembira dengan prestasi Binder. Namun, kami perlu berhati-hati dan menyertai perlumbaan pada satu-satu masa kerana masih awal untuk meramalkan apa yang akan terjadi di masa depan tetapi kami tahu apa yang dia mampu kerana dia memiliki kekuatan dan motivasi untuk menjadi pelumba yang berjaya,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Binder, yang sebelum ini pelumba pasukan CIP Green Power, menandatangani kontrak selama setahun dengan Petronas SRT pada Sepetember lepas bagi musim Kejuaraan Moto3 2021.

Mengulas mengenai prestasi kurang memberangsangkan Jake Dixon dan Xavi Vierge dalam Moto2, Razlan mengakui cuaca di Qatar telah memberi kesan kepada mereka.

“Berangin dan berdebu di Qatar dan saya percaya keadaan itu mempengaruhi perlumbaan mereka,” tambahnya.

Bagaimanapun, Razlan optimis dan berharap pasukannya akan melakukan dengan lebih baik dalam perlumbaan akan datang, MotoGP Portugal 2021 di Litar Antarabangsa Algarve, Portimao, yang dijadualkan diadakan pada 16 hingga 18 April.

Pelumba Britain Dixon menduduki tempat ketujuh di GP Qatar sebelum ketinggalan jauh ke tempat ke-19 di GP Doha pada minggu berikutnya.

Vierge, pelumba dari Sepanyol, terpaksa keluar daripada beraksi setelah pusingan keenam di GP Qatar sebelum berjaya meningkatkan prestasinya dengan menduduki tempat kelapan di GP Doha.

 

 

Bernama

bernama@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

6  +  1  =