MOSTI satukan TPM dan MaGIC jadi agensi pengkomersialan teknologi

 MOSTI satukan TPM dan MaGIC jadi agensi pengkomersialan teknologi

PUTRAJAYA, 22 April — Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) sedang menstruktur semula Taman Teknologi Malaysia (TPM) serta Pusat Kreativiti dan Inovasi Global Malaysia (MaGIC) melalui langkah penyatuan bagi mewujudkan agensi pengkomersialan teknologi baharu yang akan mempercepatkan negara ke arah menjadi ekonomi inovasi.

MOSTI dalam satu kenyataan berkata mandat baharu yang diluluskan Kabinet semalam, akan bertindak sebagai pemecut pengkomersialan teknologi.

TPM adalah satu-satunya taman teknologi generasi keempat di Malaysia yang mempunyai inkubator fizikal dan infrastruktur teknologi, manakala MaGIC telah memainkan peranan penting dalam membudayakan syarikat pemula teknologi dan ekosistem inovasi dengan pelbagai bantuan yang merangkumi pemudah cara pengawalseliaan, sokongan akses pasaran termasuk pembangunan kapasiti.

“Sinergi itu akan menghimpunkan elemen terbaik daripada TPM dan MaGIC,” katanya.

Menurut kementerian itu lagi, satu pasukan petugas bersama yang terdiri daripada kedua-dua agensi, akan dibentuk bagi menyelia penubuhan agensi, pasukan itu akan diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif TPM, Dzuleira Abu Bakar.

Inisiatif tersebut akan melengkapkan Malaysia untuk berada pada kedudukan terbaik dalam menangani isu-isu seperti kadar pengkomersialan serta perbelanjaan domestik kasar yang rendah terhadap penyelidikan dan pembangunan (R&D), kemerosotan perbelanjaan R&D dalam sektor swasta dan pertindihan peranan antara agensi kerajaan, katanya.

Misi utamanya adalah untuk mempercepatkan penciptaan, pembangunan serta pengkomersilan teknologi dan inovasi.

”Membina rangkaian yang merangkumi keseluruhan rantaian nilai, daripada permulaan inkubasi kepada syarikat teknologi pertumbuhan tinggi, akan membolehkan Malaysia mengukuhkan┬ádan membuka kunci nilai dalam ekosistem teknologi serta┬áinovasi,”┬ákata MOSTI.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin dipetik dalam kenyataan itu berkata bahawa pada tahun pertamanya menerajui MOSTI, beliau telah mengkaji bidang keutamaan yang memerlukan campur tangan kerajaan, bermula dengan agenda pengkomersialan.

Tahun lepas, Malaysia berada di kedudukan ke-33 daripada 131 ekonomi dalam Indeks Inovasi Global 2020, naik dua tangga berbanding 2019.

Malaysia menduduki tempat kedua di kalangan 37 ekonomi kumpulan berpendapatan sederhana dan kelapan antara 17 ekonomi di Asia Tenggara, Asia Timur serta Oceania.

 

 

Bernama

bernama@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

43  −  37  =