MOSTI sasar 1,000 perintis inovasi pada 2022

 MOSTI sasar 1,000 perintis inovasi pada 2022

Dr. Adham (kiri) beramah mesra dengan peniaga ketika melawat gerai jualan di Pasar Awam Bandar Tenggara, Kota Tinggi, hari ini.

KOTA TINGGI – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menyasarkan dapat melahirkan 1,000 perintis inovasi menerusi Program Pembangunan Inovasi Sosial (PPIS) pada tahun depan.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Adham Baba yakin sasaran itu mampu direalisasikan menerusi program yang dilaksanakan oleh Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) itu, sekali gus merancakkan pembangunan masyarakat dalam inovasi produk menerusi sains dan teknologi.

“Sejak ditubuhkan pada 2008, YIM iaitu agensi di bawah MOSTI telah menyalurkan dana pembangunan menerusi Program Pembangunan Inovasi Sosial bernilai RM15 juta yang telah memberi manfaat kepada lebih 5,000 perintis inovasi di seluruh negara.

“Justeru, melihat keperluan yang ada kita mahu memberi galakan dan membantu 1,000 lagi perintis inovasi. Kita beri peluang kepada mana-mana individu yang mempunyai idea dalam mengembangkan produk mereka,” katanya selepas melawat Pasar Awam Bandar Tenggara, dekat sini hari ini.

Adham yang juga Ahli Parlimen Tenggara berkata, PPIS dibangunkan bertujuan bagi memperkasakan masyarakat menerusi inovasi sosial dan idea teknologi tempatan.

Menerusi program itu, peserta yang berpotensi akan diberikan latihan dan bimbingan bagi mengembangkan produk selain dana pembangunan sekiranya idea mereka boleh dimajukan ke peringkat lebih tinggi.

“Menerusi program ini juga kita menggalakkan lebih ramai perintis inovasi tempatan untuk mereka cipta teknologi dan tidak hanya menjadi pengguna teknologi luar negara,” katanya.

Dalam pada itu, Dr. Adham berkata, MOSTI menerusi YIM juga akan membuka dua lagi fasiliti Ruang Reka yang dijangka siap sepenuhnya menjelang akhir November ini.

Dua fasiliti yang kini sedang dibangunkan itu di Bandar Tenggara dan Bera, Pahang yang merupakan penambahan kepada Ruang Reka sedia ada di Paroi, Negeri Sembilan dan Kuala Terengganu.

Nurman Nasyriq

nurman@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *