• Sunday, 20 June 2021, 9:49 am

Mona kayuh basikal berpuluh kilometer hantar pesanan makanan

 Mona kayuh basikal berpuluh kilometer hantar pesanan makanan

JOHOR BAHRU, 22 Mei – Semua pekerja syarikat penghantaran makanan menunggang motosikal dan sebahagian kecil memandu kereta. Dengan menaiki kenderaan, mereka mampu menghantar pesanan lebih pantas mengikut masa yang dijanjikan.

Dengan menunggang motosikal atau memandu kereta, seseorang penghantar makanan mampu membuat penghantaran pada jarak yang lebih jauh.

Namun bagi Mona, 36, buat masa ini hanya mengayuh basikal untuk menghantar makanan yang dipesan pelanggan. Beliau satu-satunya penghantar makanan di bandaraya ini yang mengayuh basikal. Beliau belum berkemampuan lagi untuk membeli sebuah motosikal bagi membolehkan penghantaran yang lebih banyak sekali gus meningkatkan pendapatannya.

Mona yang tinggal di Rumah Pangsa Stulang Laut di sini, akan mengayuh basikal berpuluh kilometer sehari dan tugas ini sudah dilakukan sejak lebih enam bulan lalu.

“Saya menghantar makanan untuk lebih 20 pelanggan sehari di sekitar Jalan Tebrau, Stulang, pusat bandaraya dan kadang-kadang terpaksa mengayuh jauh lagi,” katanya kepada Wacana.my ketika beliau menunggu bungkusan makanan yang disiapkan di sebuah restoran di depan Plaza Pelangi.

Mona keluar rumah seawal jam 7 pagi dan pulang sehingga jam 8 malam. Detik yang merisaukan beliau ialah bila hujan kerana beliau terpaksa mencari tempat berteduh bagi memastikan makanan yang dibawa tidak basah.

“Pelanggan tidak marah kalau saya lewat tiba tapi saya yang rasa tidak selesa,” katanya.

Membuat penghantaran pada waktu tengah hari juga amat memenatkan kerana cuaca panas terik sebab Bandaraya Johor Bahru berada betul-betul di atas garisan Khatulistiwa.

Lantaran membuat penghantaran yang tidak berhenti-henti, Mona ada ketikanya terpaksa bercuti sehari kerana sakit badan dan sakit lutut kerana kepenatan mengayuh basikal.

“Saya ada mencari basikal dalam talian tapi harganya agak mahal bagi saya. Kalau untuk sebuah scooter yang baik, harganya kira-kira RM2,000. Untuk scooter yang biasa pula harganya mungkin kurang RM1,000 tapi saya bimbang masalah bateri yang cepat rosak,” katanya.

Mona tinggal bersama ibu, 65, dan pendapatan daripada kerjanya digunakan untuk membantu keluarga.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *