Mohon warga asing ‘online’ hujung bulan ini

 Mohon warga asing ‘online’ hujung bulan ini

Oleh Fhatihah Zakinan

KUALA LUMPUR, 15 JAN 2022 – Permohonan pengambilan pekerja warga asing secara atas talian bagi sektor dibenarkan akan dibuka secara berperingkat, bermula hujung bulan ini.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan, berkata permohonan itu boleh dibuat majikan di laman sesawang www.fwcms.com.my.

Datuk Seri M Saravanan

Beliau berkata, permohonan bagi pengambilan membabitkan 32,000 pekerja asing dalam sektor perladangan secara pengecualian khas akan dibuka, pada 28 Januari ini.

Katanya, permohonan sama bagi sektor lain yang dibenarkan bagi penggajian pekerja asing termasuk sektor perladangan tanpa pengecualian khas pula dibuka pada 15 Februari ini.

“Mesyuarat Jemaah Menteri pada 10 Disember lalu, bersetuju untuk pengambilan pekerja asing dalam sektor dibenarkan bagi penggajian pekerja asing,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada masa sama, beliau turut mengingatkan semua majikan untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Kemasukan Pekerja Warga Asing ditetapkan kerajaan.

“Ia merangkumi empat fasa iaitu pra pelepasan, ketika dan selepas ketibaan serta pasca kuarantin.

“Semua pekerja asing perlu menjalani tempoh kuarantin selama tujuh hari dan dua kali ujian saringan COVID-19 dalam tempoh berkenaan yang akan ditanggung majikan,” katanya.

Saravanan berkata, ketika ini, semua pusat kuarantin dan hotel bagi tujuan kuarantin di Lembah Klang dengan kapasiti seramai 10,000 pada satu-satu masa.

“Justeru, Kementerian Sumber Manusia mengalu-alukan mana-mana pihak berminat untuk menawarkan khidmat sebagai pusat kuarantin atau hotel bagi tujuan kuarantin.

“Ia perlu mematuhi syarat dan kriteria ditetapkan Agensi Pengurusan Bencana Negara dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri,” katanya.

Tun Puteh Wanti

sangratu@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  +  33  =  37