Moh tanam pokok buah di Kg Juara

 Moh tanam pokok buah di Kg Juara

ROMPIN: Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) menyumbang 100 pokok buah-buahan untuk diagihkan kepada penduduk Kampung Juara, Pulau Tioman, semalam.

Sumbangan berkenaan antara aktiviti yang diadakan sempena program “Moh La Weh!!!” Tanam Pokok 5juta@Pulau Tioman yang julung kali diadakan di pulau peranginan itu.

Penolong Pengarah Silvikultur (Zon Pahang Timur I) JPNP, Nurfazliza Kamarulbahrin berkata, antara pokok buah-buahan yang disediakan ialah jambu, ciku, mata kucing dan mempelam, termasuk pokok spesies Meranti Kuantan (Shorea kuantanensis).

Menurutnya, sumbangan pokok berkenaan diharap menambahkan lagi keunikan Kampung Juara yang sememanya sudah terkenal dengan pengeluaran durian kampung dan beberapa buah-buahan tempatan lain.

Katanya, sebelum ini pihaknya yang diketuai Pengarah JPNP, Datuk Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin telah mengadakan program menghijaukan Kampung Juara dengan aktiviti menanam pokok kelapa ditepi pantai dipusat pelancongan itu.


“Pada program kali ini kita turut menanam enam pokok ciku dan mata kucing diperkarangan Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Juara yang diharap membesar dan berbuah dalam tempoh dua hingga empat tahun akan datang.

“Program berkenaan antara usaha murni jabatan kepada masyarakat setempat,” katanya.


Beliau berkata, program ‘Moh La Weh’ anjuran Jabatan Penyiaran Pahang dengan kerjasama JPNP, pelbagai aktiviti diadakan sepanjang dua program berkenaan di Kampung Juara.


Sementara itu, Ketua Kampung Juara , Razib Ali Awang berkata, program ‘Moh La Weh’ yang diadakan dapat mengeratkan hubungan antara penduduk tanah besar dengan masyarakat Kampung Juara.


“Sumbangan pokok buah-buahan oleh JPNP kepada penduduk kampung dapat menambahkan lagi jumlah pokok buah di Kampung Juara yang terkenal dengan durian kampung.


“Saya bagi pihak penduduk mengucapkan terima kasih kepada JPNP yang menyumbang 100 pokok buah-buahan,” katanya.

WMY

WMY@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

45  −    =  40