• Sunday, 20 June 2021, 12:39 pm

Miti harus lebih proaktif sebelum beri kelulusan – DPDM

 Miti harus lebih proaktif sebelum beri kelulusan – DPDM

KUALA LUMPUR, 4 Jun — Selain membuat pemantauan setelah memberikan kelulusan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) digesa untuk lebih proaktif dan turun padang sebelum memberi sebarang kelulusan kepada syarikat yang memohon.

Dewan Perniagaan Digital Malaysia (DPDM) turut mahu Miti bekerjasama dengan bahagian industri kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan untuk memantau syarikat yang memohon kebenaran beroperasi sepanjang tempoh sekatan pergerakan penuh dilaksanakan.

Presidennya, Chris Daniel Wong berkata DPDM bimbang terdapat syarikat bukan perkhidmatan penting yang telah memperoleh kelulusan untuk beroperasi.

“Kita telah mendapat berita ada perniagaan bukan perkhidmatan penting telah mendapat kelulusan beroperasi kerana menfailkan maklumat yang tidak tepat. Saya sarankan pihak MITI, sebelum memproses surat kelulusan tersebut, supaya turun padang untuk pantau bagi memastikan sama ada pemohon itu dalam kategori perkhidmatan penting atau tidak.

“Contohnya, peniaga gunting rambut terpaksa akur untuk tutup perniagaan, tetapi pengilang seperti syarikat memproses kayu diberi kelulusan beroperasi. Saya tidak nampak kaitan syarikat itu sebagai perkhidmatan penting,” katanya semasa temu bual dalam program Ruang Bicara yang disiarkan Bernama TV, malam tadi.

Menurut Chris langkah proaktif oleh Miti  akan menunjukkan ketelusan dan kesaksamaan MITI dalam memberikan kelulusan kepada syarikat perkidmatan penting untuk beroperasi.

Dalam perkembangan sama, DPDM turut menasihatkan syarikat yang telah memperoleh kelulusan beroperasi untuk memanfaatkan peluang tersebut dengan meluaskan perniagaan mereka ke pasaran eksport.

“PKS yang mendapat kelulusan untuk beroperasi harus manfaatkan peluang ini sebab ramai lagi yang tidak boleh beroperasi. Buat masa sekarang sudah banyak PKS gulung tikar terutama dalam sektor pelancongan dan pengurusan acara,” katanya.

 

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *