Misteri paluan tiga gong di pokok ara Lubuk Tanah Merah

 Misteri paluan tiga gong di pokok ara Lubuk Tanah Merah

Hazrul dengan tangkapan udang galah dari Batang Kayan

Oleh Mohd Kamal Ahmad

LUNDU: Paluan tiga gong berlainan jam 1 pagi kedengaran sayup-sayup pada jarak 100 meter dari bot yang dilabuhkan di Lubuk Tanah Merah disifatkan pengalaman menyeramkan serta penuh mistik.

Hajamat Jus, 58, ketika itu tidur lena dibuai olak dan bunyi riak air sungai yang deras pasang manakala anaknya, Hazrul, 29, asyik dengan telefon bimbitnya. Sama ada hujan renyai atau embun jantan, terdengar titisan jatuh di atas kajang bot tetapi yang menghairankan bulan terang ketika itu. Namun suasana samar-samar menjadi senyap sepi sedangkan biasanya riuh dengan bunyi unggas malam.

“Pada masa sama juga, saya terhidu bau wangi. Ia seakan-akan bau bunga kiambang yang berbau wangi bila waktu malam.Saya ketika itu teringat pesan arwah nenek, kalau terdengar atau tercium bau jangan ditegur. Di lubuk itu juga sepohon pokok ara yang sudah lama tumbuh,” demikian kisah Hazrul mengimbas pengalaman yang menyeramkan ketika memasang jaring belat udang galah di satu lokasi dekat Lubuk Tanah Merah di Sungai Batang Kayan di sini, pada 2016 lalu.

Ikan siakap yang turut terperangkap dalam jaring belat yang dipasang.

Paluan gong itu, katanya, berlarutan kira-kira 3 minit sebelum bunyinya perlahan-lahan kedengaran sayup dan lenyap.

“Saya tertanya-tanya apakah ada perkampungan di atas darat atau ada penduduk yang melaksanakan perayaan atau menyambut adat. Keesokan hari, saya tanya ayah dan dia menjawab itu perkara biasa bila berada di kawasan tersebut,” katanya.

Menurut beberapa orang kampung, mereka juga pernah melalui peristiwa serupa ketika melabuhkan bot waktu malam di situ. Difahamkan, kemungkinan ada perkampungan di situ suatu masa dahulu tetapi kini kawasan tersebut menjadi perkampungan baharu di daerah ini.

Justeru, bagi Hazrul berkata, untuk turun ke sungai seseorang itu juga perlu ada pengalaman, kemahiran dan ilmu tertentu di dada untuk berdepan cabaran di lapangan yang serba asing. Apatah lagi, Batang Kayan juga dihuni ‘Bujang Senang’ di sebalik kewujudan banyak udang galah saiz mega di situ. Lubuk terkenal di sini ialah Sungai Rengas, Sungai Senibong, Teluk Lobak dan Tanah Merah yang biasanya menjanjikan tuaian lumayan.

Hajamat Jus mahir dengan pelbagai lubuk Batang Kayan

“Syukur Alhamdulillah, saya dihindarkan daripada pengalaman diancam Bujang Senang. Tetapi bertembung dengan buaya yang masuk ke dalam jarrng belat itu perkara biasa,” katanya kepada Wacana.my.

Hazrul dan ayahnya berasal dari Kampung Stunggang Melayu. Perjalanan ke lubuk lazimnya sehingga 30 minit dari pangkalan. Rekod tangkapan udang galah terbanyak pernah diraih ialah 40 kilogram sehari pada 2017 dan purata pendapatan sekali turun ke sungai ialah kira-kira RM200.

Udang galah itu kemudian dijual pada peraih  pada harga RM44 sekilogram dan harga di pasaran mencecah RM70 sekilogram.

Musim udang galah di Batang Kayan lazimnya pada awal tahun hingga Mei dan selepas tempoh itu jumlahnya berkurangan kerana induk udang mudik ke hulu untuk proses melepaskan benih.

Selain menjala, mereka memasang jaring belat sepanjang 100 meter. Belat dipasang waktu air surut dan ketika air pasang, ia akan ditarik ke atas untuk diikat pada pada turus (kayu pancang) yang disediakan. Belat akan diperiksa semula apabila air kembali surut.

“Selain udang galah, biasanya yang terperangkap dalam belat ialah sembilang, siakap, baung dan ketutu serta ikan air payau lain,” kata yang turut mencetak kemeja-T mengikut tempahan pelanggan.

Muhd Shazel Irfan semakin mahir memasang belat dan menjadi jurugambar saluran Youtube ayah saudaranya.

Mereka bergerak ke lubuk dengan bot dengan enjin 30 kuasa kuda. Sekali sekala, anak saudaranya, Muhd Shazel Irfan Shaffizan, 13, turut ikut ke lubuk dan dia semakin mahir membantu kerja-kerja mengasingkan tangkapan dan membuang sisa yang tersangkut dalam belat. Shazel juga kini menjadi juru kamera dalam Youtube Channel beliau.

Hazrul juga memegang pesan pelawak arwah Bocey yang berkata, kalau kita baik pasti ramai orang yang sayang dan kalau hendak membantu, kita harus bantu dahulu adik-beradik sebelum membantu orang lain.

“Itulah kata-kata dari seorang pelawak yang selalu saya ingat dan insya Allah saya akan lakukan pada saat saya mampu untuk lakukan nanti,” katanya.

Dapatkan video tangkapan Hazrul di sini: https://www.youtube.com/watch?v=F09zDw3MVn8

Dan ikuti beliau dalam Youtube: youtube.com/c/hazrulhajamat

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

99  −    =  94