Misi perdagangan ke Korea Selatan, Jepun catat transaksi berkaitan eksport RM986.15 juta 

 Misi perdagangan ke Korea Selatan, Jepun catat transaksi berkaitan eksport RM986.15 juta 

KUALA LUMPUR, 26 April — Misi perdagangan dan pelaburan pertama Malaysia ke Korea Selatan dan Jepun dalam keadaan pandemik dan cabaran global menjana transaksi berkaitan eksport bernilai RM986.15 juta.

Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) menjelaskan sepanjang misi enam hari yang berakhir pada 6 April, beberapa mesyuarat perniagaan mengenai penyumberan produk dan perkhidmatan telah diadakan melibatkan pembeli utama dan syarikat terkemuka dari kedua-dua negara itu.

“Eksport produk dan perkhidmatan bernilai kira-kira RM70 juta ke Korea Selatan dicatatkan susulan mesyuarat dengan pembeli dari negara itu,” menurutnya dalam kenyataan pada Isnin.

Ia menambah satu daripada mesyuarat itu adalah melibatkan peruncit utama Korea Selatan, GS Retail, pengendali lebih 15,000 kedai serbaneka dan 289 pasar raya.

Peserta misi perdagangan juga mengadakan mesyuarat dengan syarikat Jepun berkaitan pelbagai produk dan bahan seperti Mitsubishi Corporation, Mitsui & Co dan Daiso.

“Komitmen diberikan untuk meningkat penyumberan produk pengguna laris, minyak sawit, produk dan perkhidmatan halal, kimia dan produk kimia dari Malaysia,” menurut Matrade.

Ia menjelaskan mesyuarat dengan Daiso bertujuan memberi peluang kepada pengeksport Malaysia untuk membekalkan lebih banyak barangan Malaysia.

Matrade menambah pembeli Jepun memberi komitmen untuk membeli dari Maaysia bagi tempoh 24 bulan akan datang dengan nilai eksport RM916.15 juta.

Semasa misi itu, Matrade juga menandatangani Memorandum Kerjasama dengan Pertubuhan Perdagangan Luar Jepun untuk memperkukuh kerjasama penggalakan perdagangan Malaysia dengan Jepun secara strategik dalam bidang seperti halal, teknologi maklumat dan komunikasi, e-dagang dan transformasi digital.

Delegasi itu diketuai Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

 

 

 

 

Bernama

bernama@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  +  86  =  96