Minat terhadap media yang dipercayai meningkat – Institut Reuters

 Minat terhadap media yang dipercayai meningkat – Institut Reuters

Sumber: Reuters

LONDON, 23 Jun – Pandemik COVID-19 dan krisis global semenjak tahun lalu telah meningkatkan minat masyarakat kepada sumber media yang boleh dipercayai. Menurut Institut Pendidikan Kewartawanan Reuters, sebilangan besar daripada masyarakat juga inginkan organisasi-organisasi media supaya bersikap objektif dan membuat laporan secara seimbang.

Tahap keyakinan masyarakat kepada organisasi media di Eropah meningkat, terutamanya syarikat-syarikat media yang mempunyai reputasi sebagai sumber yang boleh dipercayai. Namun, tahap keyakinan kepada sumber-sumber media yang semakin terpolarisasi di Amerika Syarikat telah menurun.

Menurut laporan berita digital 2021 Institut Reuters (https://reutersinstitute.politics.ox.ac.uk/digital-news-report/2021), majoriti rakyat di pelbagai negara percaya bahawa syarikat media patut melaporkan pelbagai pandangan dan cuba menjadi neutral.

“Kita telah melalui tempoh yang amat gelap, dan kebanyakan orang telah nampak bahawa organisasi media telah memainkan peranan penting dalam memberi sinar dalam kegelapan itu,” kata Rasmus Nielsen, pengarah Institut Reuters.

 “Kini masyarakat semakin menghargai sumber berita yang boleh dipercayai,” kata beliau. “Yang jelas, di dalam setiap negara, tak kira usia, majoriti masyarakat inginkan kewartawanan yang neutral dan adil.”

Laporan tersebut berdasarkan tinjauan di dalam 46 pasaran yang mewakili separuh daripada populasi dunia.

Revolusi teknologi yang semakin pesat bermakna 73% daripada populasi dunia kini mempunyai akses kepada berita melalui telefon pintar, satu peningkatan ketara daripada 69% tahun lalu, manakala ramai menggunakan media sosial atau aplikasi mesej untuk mendapat serta membincangkan berita. TikTok kini digunakan 24% populasi di bawah usia 35 tahun, terutamanya di benua Asia dan Amerika Selatan.

Facebook pula didapati sebagai platform utama bagi perkongsian maklumat palsu, walaupun aplikasi mesej seperti WhatsApp juga memainkan peranan.

Namun begitu, syarikat-syarikat teknologi gergasi ini juga menjadi platform untuk membangkang dan melawan kerajaan, seperti yang berlaku di Peru, Indonesia, Thailand, Myanmar dan Amerika Syarikat, kata Institut Reuters.

Lebih ramai rakyat Amerika Syarikat semakin tidak mempercayai media mereka, berbanding mereka yang mempercayainya, dan kekalahan Donald Trump dalam pilihanraya Presiden tahun lalu telah menurunkan permintaan terhadap berita, terutamanya mereka yang mempunyai pandangan politik kanan.

Institut Pendidikan Kewartawanan Reuters merupakan pusat penyelidikan di Universiti Oxford yang memantau trend media. Ia dibiayai oleh Yayasan Thomson Reuters.

 

WMY

WMY@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

19  −  15  =