Migrasi burung sebuah misteri, keajaiban alam

 Migrasi burung sebuah misteri, keajaiban alam

Kredit foto Fuziah Sulaiman

SETIAP kali musim bunga dan musim gugur, sebuah pemandangan terbentang di langit malam apabila berjuta burung memulakan penerbangan migrasi yang panjang serta bahaya di antara tempat pembiakan musim panas dan tapak musim sejuk mereka.

Menurut kajian yang dibuat Martin Wikelski dan National Geographic, sebilangan besar dari ribuan spesies burung yang melakukan migrasi tahunan ini memulakan penerbangan pada waktu malam, di mana bulan dan bintang menjadi panduan mereka serta dibawa arus angin yang lebih lancar.

“Penghijrahan merupakan sebahagian daripada kitaran hidup burung. Ianya telah berlaku hampir ribuan tahun sehingga sekarang,” kata Martin Wikelski, Pengarah Institut Ornithologi Max Planck yang juga seorang pengembara National Geographic.

Dengan mengikuti petunjuk dari langit, burung-burung ini biasanya akan mengikuti laluan terbang yang tersedia ada iaitu laluan yang menawarkan peluang terbaik untuk berehat ketika dalam perjalanan.

Kebanyakan spesies burung akan menggunakan jalan penerbangan ini ketika mereka menghadapi cuaca buruk, dehidrasi, kelaparan dan ancaman pemangsa.

Penghijrahan adalah sebahagian daripada kitaran hidup burung. Antara faktor utama penghijrahan ini adalah makanan, cuaca serta mengurangkan pendedahan kepada haiwan pemangsa atau parasit, terutama ketika musim pembiakan.

Spesies burung yang berhijrah

Menurut kajian National Geographic, hampir separuh daripada 10,000 spesies burung yang diketahui dunia berhijrah. Berdasarkan geografi dunia, Hemisfera Utara mempunyai pelbagai jenis burung yang melakukan migrasi.

Antara spesies burung yang terlibat adalah burung gagak, burung marin, unggas air serta burung liar.

Selain itu, terdapat spesies burung yang berhijrah secara jauh dan laju. Misalnya, burung ‘The Great Snipe’ mampu terbang meliputi jarak melebihi 6,000 km dan mencapai kelajuan hingga 96 km sejam.

Sebagai contoh, burung Terns Arktik, melakukan perjalanan ulang alik lebih 10,000 km yang dipercayai sebagai penghijrahan haiwan paling jauh di dunia. Penghijrahan ini melibatkan burung yang terbang dari timur ke barat atau di atas dan bawah gunung.

Selain itu, burung yang tidak boleh terbang seperti penguin Adélie, turut melakukan penghijrahan sejauh 12,000km melalui cuaca Antartika yang sejuk mencapai – 55 darjah celsius.

Kredit foto Dr Shamsul Nasarah

Panduan burung di langit

Selain petunjuk dari langit seperti kedudukan matahari, bintang dan bulan, burung dewasa menggunakan ‘kompas dalaman’ sebagai navigasi. Walaupun tanpa sebarang mercu tanda, kompas ini menghalangnya daripada sesat di tengah perjalanan.

Perubahan keadaan persekitaran seperti jangka waktu harian dapat merangsang hormon yang mempengaruhi migrasi burung, seperti memberitahu isyarat sudah tibanya waktu untuk terbang.

Selain itu, biologi dalaman burung juga dapat mengesan perubahan musim dan cuaca, seperti perubahan cahaya dan suhu udara. Keadaan cuaca ini mempengaruhi keputusan burung untuk berhijrah.

Akibat perubahan iklim, jadual penghijrahan dan migrasi burung ini sentiasa berubah bagi memberi manfaat kepada produktiviti tanaman dan serangga di tempat pembiakan.

Bagaimanapun, bukan semua jenis burung yang berhijrah dapat menyesuaikan diri dengan dunia yang semakin memanas, dan jika berjaya melakukannya, akibat migrasi itu masih lagi kekal sebagai misteri.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

5  +  5  =