Migang serlah perpaduan masyarakat Bajau menjelang Ramadan

 Migang serlah perpaduan masyarakat Bajau menjelang Ramadan

Oleh Mohd Azrone Sarabatin

SEPANGGAR: Masyarakat Bajau terutama yang mendiami Pantai Barat Sabah dari Kudat sehingga ke Papar  mempunyai keunikan budaya tersendiri untuk memulakan ibadah puasa Ramadan dengan menganjurkan majlis kenduri doa selamat serta kesyukuran sekampung dikenali sebagai ‘migang’.

`Migang’ bererti berniat dan bertekad iaitu aku janji untuk menunaikan ibadah puasa penuh selama sebulan sepanjang Ramadan dan sentiasa ingat mengingati bahawa masih ada penduduk setempat yang kurang berkemampuan dan perlu dibantu sepanjang Ramadan dengan berkongsi rezeki untuk `sungkai’ (buka puasa) dan sahur.

Kebiasaannya kenduri berkenaan diadakan dalam tempoh dua minggu iaitu bermula 15 hingga 29 Syaaban sebelum menunaikan Rukun Islam ketiga itu.

Majlis kenduri sekampung berkenaan biasanya diadakan di masjid, surau, dan ada juga di rumah penduduk kampung pada sebelah siang selepas Asar dan malam selepas Maghrib.

Kenduri warisan berzaman itu adalah sebagai tanda kesyukuran terhadap rezeki kurniaan Ilahi yang perlu dikongsikan bersama untuk mengukuhkan hubungan kekeluargaan dan silaturahim.

Ia juga sebagai tanda mengagungkan kebesaran Ilahi kerana memberi rahmat, hidayah dan dipanjangkan usia untuk menunaikan ibadah puasa pada tahun berkenaan.

Menariknya, migang bukan sekadar kenduri doa selamat sekampung tetapi penduduk mengambil peluang bersedekah dengan masing-masing membawa juadah makanan atau minuman untuk dinikmati bersama.

Bagaimanapun, migang dalam kalangan masyarakat Bajau tiada kaitan dengan ‘mi gang’ dalam bahasa Mandarin yang bermaksud balang seramik khususnya untuk menyimpan beras.

Bagi imam yang mengetuai kenduri migang, juadah disimpan dalam dulang tembaga dan diletakkan juga di atas cembul diperbuat daripada logam berkenaan. Namun ia hanya adat dan tiada kaitan dengan mengagung-agungkan individu terbabit.

Cembul adalah satu daripada lima komponen dalam tepak sirih mencakupi bekas pinang, kapur, gambir, tembakau dan bunga cengkih biasanya diperbuat daripada tembaga.

Budaya migang ini turut termuat dalam teks khutbah Jumaat lama atau dikenali ‘Illahu’ di sebuah masjid di Kota Belud yang dikenali Balai Diah atau sekarang Masjid Tanjung Pasir.

Lebih 30 hidangan disajikan terutama makanan tradisi masyarakat Bajau seperti ‘penjaram’, ‘penganan’, ‘sup bangkur (sup tulang bahagian lutut lembu, kerbau atau kambing)’, ‘kalas’ (ketupat palas), ‘tinaih nerebut’(usus kecil lembu atau kerbau) dan ‘berati’ (bertih).

Biasanya, juadah akan disimpan dalam dulang dan ditutup dengan tudung saji tradisi masyarakat Bajau dikenali ‘tudung duang’.

Jika dahulu nasi, lauk pauk dan kuih muih akan dibungkus dengan daun pisang atau ‘puyutan’ dalam bahasa Bajau supaya sentiasa segar, namun kini kaedah itu jarang digunakan.

Ada juga juadah nasi dikenali ‘tumpang buas’ yang bermaksud nasi yang ditanak apabila masak dimasukkan dalam mangkuk sebelum dipindahkan ke piring, ini bagi menggantikan nasi dibungkus dengan daun pisang atau ‘puyutan buas’.

Ketua Kampung Tanjung Pasir, Kota Belud, Seriah Bangsawan, berkata migang masih diamalkan masyarakat Bajau khususnya di Pantai Barat Sabah, untuk mengukuhkan silaturahim dan berkongsi rezeki.

Beliau berkata, budaya unik itu menjadi adat dan  tradisi masyarakat Bajau dan ia perlu dipertahankan kerana mampu mengerartkan lagi hubungan persaudaraan.

Bagaimanapun katanya, penduduk kampung sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan ketika mengadakan kenduri berkenaan untuk bersama meratakan lengkungan pandemik COVID-19 di negara ini termasuk memakai pelitup muka, penjarakan fizikal dan mengehadkan jumlah tetamu.

“Penduduk kampung sedar pandemik COVID-19 masih lagi belum berakhir dan kami sentiasa mematuhi SOP ditetapkan ketika kenduri migang,” katanya.

Tarikh melihat anak bulan Ramadan di Malaysia adalah pada petang Isnin, 12 April ini iaitu bersamaan 29 Syaaban 1442 Hijrah.

Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja memaklumkan, Majlis Raja-Raja bersetuju kaedah menetapkan tarikh permulaan puasa berdasarkan Rukyah dan Hisab.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

38  −    =  28