MID, Uitm Sabah kerjasama lahir usahawan kecil dan sederhana

 MID, Uitm Sabah kerjasama lahir usahawan kecil dan sederhana

KOTA KINABALU, 14 April — Kementerian Pembangunan Perindustrian Sabah (MID) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) cawangan Sabah hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi menjalin kerjasama melahirkan usahawan dalam Industri Kecil dan Sederhana (IKS) di negeri itu.

Menterinya Datuk Dr Joachim Gunsalam berkata sebagai langkah awal, kementerian menyumbangkan geran sebanyak RM40,000 bagi menjayakan program ‘The Novice’ yang dilaksanakan oleh UiTM berkenaan.

Joachim, yang juga Timbalan Ketua Menteri, berharap geran itu bukan sahaja dapat melahirkan usahawan dalam kalangan pelajar malah mewujudkan peluang kerjaya kepada masyarakat setempat.

“Ia merupakan satu pelaburan jangka panjang yang bukan sahaja memberi manfaat kepada pelajar yang mengikuti program ini, tetapi turut dirasai oleh masyarakat di luar sana yang mendapat peluang pekerjaan melalui perniagaan yang diusahakan,” katanya ketika berucap pada majlis menandatangani MoU itu di sini hari ini.

MoU itu ditandatangani Setiausaha Tetap MID Thomas Logijin manakala UiTM cawangan Sabah diwakili rektornya Prof Madya Datuk Dr Abdul Kadir Rosline.

Joachim berkata sektor perindustrian pembangunan keusahawanan merupakan salah satu agenda yang diberi penekanan dalam Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya 2021–2025.

“Bagi menjayakan pelan pembangunan ini, kementerian sentiasa mengalu-alukan kerjasama daripada agensi dan institusi berkaitan,” katanya.

Bernama

bernama@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

21  −  18  =