MEVTA bantah rampasan vape, gesa kerajaan perkenal peraturan

 MEVTA bantah rampasan vape, gesa kerajaan perkenal peraturan

KUALA LUMPUR, 7 Mei – Kerajaan digesa segera mewujudkan undang-undang atau peraturan untuk  mengawal selia industri vape di negara ini bagi memastikan pemain industri berada di landasan yang betul dan boleh  menjalankan urus niaga secara sah tanpa ragu-ragu.

Timbalan Setiausaha Agung Persatuan E-Vaporizers dan Tembakau Alternatif Malaysia (MEVTA), Syamil Hanafiah berkata, industri vape amat berpotensi besar kerana dianggarkan bernilai lebih RM2 bilion setahun.

Syamil Hanafiah, Timbalan Setiausaha Agung MEVTA

“Oleh itu, kerajaan harus mengambil peluang ini untuk melihat pada sisi positif mengenai kemampuan industri ini menjana pendapatan negara, mencipta peluang pekerjaan serta berpotensi dalam menarik lebih banyak pelaburan langsung asing dan domestik,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata demikian sebagai membantah tindakan pihak berkuasa yang didakwa menyerbu premis dan merampas produk vape baru-baru ini yang mengakibatkan usahawan terlibat mengalami kerugian ratusan ribu ringgit.

Menurut Syamil, tindakan itu seolah-olah mahu menutup periuk nasi mereka yang kini telah pun terjejas akibat impak dari pandemik COVID-19.

“Perniagaan sedia ada sudah pun terjejas ekoran pandemik ini dan kita sedia tahu ekonomi negara juga tidak stabil. Serbuan seperti ini yang merampas pelbagai produk berkaitan vape menjejaskan lagi peniagaan mereka.

Mr Juicer antara jenama tempatan yang berjaya mendapat tempat di negara seperti Amerika dan UK

“Kerana itu kami gesa kerajaan segera mewujudkan undang-undang atau peraturan untuk mengawal selia industri ini. Jika terdapat undang-undang yang diperkenalkan untuk industri ini, usahawan yang majoritinya Bumiputera dapat berkembang dan menjana pendapatan.

“Pemain industri vape amat mengalu-alukan usaha kerajaan untuk mengawal selia industri ini malah mereka amat berbesar hati untuk turut serta dalam mencurahkan idea bagi membentuk satu peraturan khusus untuk industri vape,” katanya.

Mengulas kejadian sepasang suami isteri memberi anak mereka dipercayai berusia dua tahun, menggunakan vape baru-baru ini, Syamil berkata tindakan itu tidak bertanggungjawab dan akan memberikan persepsi yang negatif berkenaan penggunaan vape.

“MEVTA berpendapat perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku. Pengguna perlu bertanggungjawab ke atas penggunaan vape dan bukan menyalahgunakan produk dengan memberikan kepada kanak-kanak. Pada masa sama, ini menunjukkan peraturan berkenaan penggunaan vape mesti diperkenalkan supaya dapat membendung perkara seperti ini berlaku,” kata Syamil.

Menurutnya, negara seperti United Kingdom dan New Zealand sudah melaksanakan peraturan progresif untuk mengawal selia industri

Industri vape tempatan mempunyai potensi besar jika mendapat sokongan dari kerajaan

vape termasuk menyenaraikan larangan penggunaan oleh kanak-kanak dan mereka yang di bawah umur 18 tahun.

“Namun di Malaysia, bukan sahaja pemain industri masih ternanti-nanti satu rangka undang-undang digubal, kami masih berhadapan dengan isu seperti ini yang membuatkan tanggapan negatif daripada masyarakat ke atas penggunaan vape walaupun ia dapat membantu perokok berhenti merokok sebagai alternatif yang kurang mudarat.

“Dengan ini, MEVTA sekali lagi menggesa kerajaan segera melaksanakan undang-undang untuk industri vape ini. Hentikan tindakan yang boleh merugikan kedua-dua pihak iaitu usahawan seperti kami dan juga kepada ekonomi negara,” katanya.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

99  −    =  97