Mesyuarat MPT BERSATU tumpu teruskan kejayaan PN

 Mesyuarat MPT BERSATU tumpu teruskan kejayaan PN

Oleh Suraya Ali

PUTRAJAYA, 4 Feb — Setelah setahun pentadbirannya, Kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah berjaya menjulang prinsip-prinsip urus tadbir kerajaan yang baik, telus serta berintegriti terutamanya dalam memelihara kebebasan badan kehakiman dan kedaulatan undang-undang.

Sehubungan itu, di dalam mesyuarat Majlis Pimpinan  Tertinggi  (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) hari ini, BERSATU menzahirkan kesyukuran atas kejayaan kerajaan Perikatan Nasional menempuhi tempoh satu tahun mentadbir negara.

Dato’ Seri Hamzah Zainuddin

Dalam sebuah kenyataan hari ini, Setiausaha Agung BERSATU Dato’ Seri Hamzah Zainuddin berkata, BERSATU mengucapkan terima kasih kepada semua parti politik yang setia dan istiqomah dalam mendokong serta mempertahankan aspirasi kerajaan Perikatan Nasional.

“Dalam menghadapi pandemik COVID-19 dan situasi ekonomi yang mencabar, kestabilan politik adalah amat penting bagi memastikan segala perancangan kerajaan dapat direalisasikan dengan berkesan,” katanya.

Berhubung surat yang dihantar oleh Presiden UMNO bertarikh 26 Februari 2021, BERSATU memandang serius terhadap kandungan surat tersebut kerana ia mempunyai implikasi yang besar terhadap kerjasama di masa hadapan antara UMNO, BERSATU dan Perikatan Nasional.

“Dalam hal ini, BERSATU memutuskan untuk terus fokus memperkasakan gerak kerja bersama rakan-rakan dalam Perikatan Nasional iaitu PAS, STAR, SAPP dan GERAKAN berlandaskan perjuangan yang jujur dan ikhlas kepada rakyat bagi memenangi pilihanraya akan datang,” katanya.

Menurut Hamzah, BERSATU juga berpendirian bahawa kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Perdana Menteri, YAB Tan Sri Dato’ Hj. Muhyiddin Yassin masih utuh dan berfungsi untuk memberi khidmat kepada rakyat.

Mesyuarat Majlis Pemimpin Tertinggi Bersatu yang berlangsung selama lebih dua jam itu telah dipengerusikan oleh Tan Sri Muhyiddin yang juga Presiden BERSATU.

Sementara itu, Ketua Penerangan BERSATU Datuk Wan Saiful Wan Jan yakin keputusan mesyuarat Majlis Pemimpin Tertinggi BERSATU hari ini akan memastikan Perikatan Nasional terus berkhidmat kepada rakyat.

“Ini adalah atas keprihatinan kerajaan yang mengutamakan rakyat,” katanya kepada Wacana.my disini hari ini.

Ditanya mengenai agenda utama mesyuarat tadi, Wan Saiful menjelaskan perkara utama yang dibincangkan adalah kejayaan-kejayaan pentadbiran PN.

“Saya bangga dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berjaya mengemudi pentadbiran negara dengan baik walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran,” tambah beliau.

Wan Saiful berkata beliau yakin keputusan mesyuarat hari ini adalah yang terbaik dan akan memastikan PN terus berkhidmat kepada rakyat atas keprihatinan bersama.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

  +  14  =  15