Merokok terbukti membunuh; kenapa masih lagi hisap?

 Merokok terbukti membunuh; kenapa masih lagi hisap?
Oleh Dr Razreen Amim Rusli

 

LAPORAN tinjauan Kesihatan dan Morbiditi 2015 menunjukkan 22.8 peratus atau 5 juta rakyat Malaysia berumur 15 tahun dan ke atas adalah perokok. Di Malaysia, dianggarkan sejumlah 49 peratus daripada lelaki dewasa adalah perokok dan setiap tahun dilaporkan 27,200 penduduk Malaysia maut akibat penggunaan tembakau. Kerajaan Malaysia telah mengambil pelbagai langkah bagi menangani masalah ini seperti menyediakan perkhidmatan klinik berhenti merokok, menyampaikan tentang amaran kemudaratan dan bahaya rokok dan mengenakan cukai yang tinggi terhadap bahan tembakau. Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga telah mewartakan 23 tempat larangan merokok bermula Januari 2019.

Merokok akan menyebabkan pelbagai masalah kesihatan seperti strok, serangan jantung, kanser paru-paru dan jangkitan kuman paru-paru. Kandungan rokok yang mempunyai nikotin akan membuatkan saluran darah menjadi sempit. Hal yang demikian menyebabkan seseorang itu mengalami serangan jantung ataupun strok jikalau saluran darah di organ tersebut menjadi sempit. Perokok mempunyai risiko sakit jantung 200 peratus hingga 400 peratus lebih tinggi berbanding individu yang tidak merokok.

Tahap kesuburan seseorang akan terjejas disebabkan merokok kerana kandungan nikotin dalam rokok merosakkan saluran darah di kawasan kemaluan lelaki seterusnya boleh menyebabkan mati pucuk. Jumlah sperma juga boleh berkurangan akibat merokok. Manakala untuk wanita pula, akan mengalami kesukaran untuk mengandung, dan jika merokok ketika mengandung, risiko keguguran dan kematian pramatang akan meningkat.

Selain itu, nikotin juga akan menyebabkan ketagihan. Apabila seseorang itu merokok, nikotin akan diserap ke dalam paru-paru dan kemudiannya akan dibawa ke otak melalui saluran darah. Otak akan bertindak dengan menghasilkan bahan kimia yang boleh mempengaruhi perangai ataupun mood seseorang. Menurut kajian yang dilakukan oleh ‘American Thoracic Society’, kebanyakan perokok tegar mengakui, merokok akan membuatkan mereka lebih tenang dan fokus dengan sesuatu perkara. Jika tidak mereka akan mengalami ‘withdrawal symptoms’ seperti kegelisahan, menjadi cepat marah, insomnia dan kemurungan. Simptom ini akan hilang serta-merta apabila mereka kembali merokok.

Rokok mengeluarkan lebih 5,000 bahan kimia. Kebanyakan bahan kimia tersebut adalah beracun dan sekurang-kurangnya 70 bahan beracun ini boleh meyebabkan kanser. Contoh bahan kimia beracun ialah tar. Tar adalah adalah bahan kimia melekit yang berwarna coklat dan ia boleh didapati dalam paru-paru orang yang merokok. Jika terlalu lama terdedah, boleh menyebabkan kanser paru-paru. Tar juga akan membuatkan gigi perokok menjadi kuning dan nafas berbau. Risiko bagi perokok untuk mendapat kanser mulut adalah tiga kali ganda lebih tinggi, manakala untuk kanser paru-paru pula adalah 15 peratus lebih tinggi berbanding orang yang tidak merokok. Ini merujuk kepada kajian yang diterbitkan oleh ‘Preventive Medicine Report’.

Di samping itu, rokok mengeluarkan asap beracun iaitu karbon monoksida. Asap ini akan menyebabkan kandungan oksigen dalam darah berkurangan dan perokok berisiko tinggi untuk mengalami serangan jantung dan strok. Perokok bukan sahaja membahayakan diri sendiri malah komuniti yang berada di sekeliling mereka seperti pasangan, keluarga dan masyarakat. Golongan ini dinamakan sebagai perokok pasif, di mana mereka menyedut udara yang dihembus oleh perokok dan menerima komplikasi yang lebih teruk daripada perokok tersebut. Hal yang demikian kerana, asap yang disedut oleh perokok pasif mengandungi dua kali ganda kandungan nikotin, tiga kali ganda kandungan tar, lima kali ganda kandungan karbon monoksida dan 50 kali ganda kandungan bahan kimia merbahaya.

Bagi kanak-kanak yang terdedah dengan asap rokok, mereka akan lebih cenderung untuk menghidap serangan asma bagi yang ada penyakit tersebut, dan jangkitan kuman paru-paru. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebanyak 600,000 kematian dijangka berlaku setiap tahun berpunca daripada perokok pasif, manakala 165,000 kematian di kalangan kanak-kanak disebabkan oleh jangkitan pada saluran pernafasan berpunca daripada asap rokok pasif.

Akhir sekali, ketika dunia dilanda wabak COVID-19, kajian awal yang dilakukan oleh WHO telah mendapati perokok yang dijangkiti COVID-19 akan menjadi lebih teruk, jangkitan kuman paru-paru lebih serius dan risiko kematian lebih tinggi. Oleh itu, perokok disarankan berhenti merokok kerana ia bukan sahaja dapat mengurangkan risiko masalah kesihatan seperti yang disebutkan di atas, tetapi dapat menyelamatkan nyawa orang lain dengan mengelakkan mereka menjadi perokok pasif.

 

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  +  72  =  80