Mentransformasi institusi masjid demi mempertingkat peranan dan kecekapan

 Mentransformasi institusi masjid demi mempertingkat peranan dan kecekapan

Foto : Masjid Sultan Ahmad Shah, Kuantan Pahang

MASJID adalah institusi awam dan akar umbi yang sangat penting serta berpengaruh dalam Islam. Masjid sangat rapat dengan kariah dan komuniti. Masjid pusat dan nadi pembangunan ummah – agama, pendidikan, kemasyarakatan dan ekonomi. Seiring perubahan masa dan teknologi yang menjurus kepada pendigitalan serta aplikasi internet, tiba masanya kecekapan dan peranan semua masjid di seluruh negara ditingkatkan segera.

Masjid zaman ini perlu ada sistem pengurusan, fokus  dan peranan baharu. Transformasi institusi masjid mesti dilakukan segera. Ini bagi memenuhi perubahan masa, kepantasan serta kecekapan komunikasi dan penghebahan, selain tanggungjawab dan peranan baharu. Transformasi ini bagi mengelakkan masjid daripada dipinggirkan dan diabaikan kerana ketidakcekapan serta ketinggalan zaman.

Semalam penulis menerima satu WhatsApp dalam grup keluarga dari seorang anak saudara. WhatsApp ini mengenai langkah Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) yang menawarkan tempahan kepada umat Islam di republik itu untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri, esok.

Sebanyak 66 masjid di negara itu akan mengadakan solat sunat pada 1 Syawal. Ia melibatkan kluster Timur, Utara, Selatan dan Barat. Dengan menggunakan aplikasi tempahan dalam talian, MUIS berjaya mengatur solat sunat Aidilfitri menerusi tiga sesi. Setiap sesi mengambil masa 40 minit. Sesi 1 berlangsung dengan daftar masuk jam 7.20 pagi dan sesi solat jam 7.30 hingga 8.10 pagi. Sesi 2 dengan daftar masuk 8.30 pagi, solat jam 8.40 pagi hingga 9.20 pagi; dan sesi ketiga bermula dengan daftar masuk 9.40 pagi dan solat pada jam 9.50 pagi hingga 10.30 pagi.

Ketiga-tiga sesi solat ini disusun dengan cekap. MUIS hanya yang membenarkan jemaah yang mendaftar untuk menunaikan solat pada masa yang dipilih. Tidak timbul dakwa-dakwi si polan orang AJK Masjid atau berstatus ‘kayangan’. Sistem telah mengatur dan mendisiplinkan jemaah di sana. Hanya 17,192 ruang solat yang disediakan sejajar dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) berikutan pandemik COVID-19.

Apabila penulis klik pada aplikasi yang disediakan. Ternyata tempahan turut melibatkan jemaah untuk solat lima waktu, solat Jumaat, solat Isyak dan tarawih (ketika Ramadan) serta Qiyamulail (ketika Ramadan).

Tempahan dibuka lebih awal daripada hari sebenar. Tempahan yang dibuat juga tidak boleh dipindahkan kepada individu lain. Ruang solat khas untuk Jemaah Muslimah yang dianjurkan di masjid tertentu juga perlu ditempah menerusi aplikasi disediakan.

Kita boleh bayangkan bagaimana cekap MUIS mengurus jemaah. Rasanya, sistem ini belum dilaksanakan (atau dilaksanakan hanya segelintir masjid) di negara ini. Dengan sistem tempahan ini, tiada jemaah yang menengking dan memaki-hamun petugas yang menjaga pintu pagar masjid jika dia dilarang memasuki masjid. Sistem telah mengatur kehadiran dan menyusun petak solat mereka. Sistem begini lebih telus dan berintegriti – dua elemen yang didukung oleh generasi masa kini.

Ternyata, transformasi masjid perlu disegerakan. Ia bukan soal untuk mendaftarkan jemaah untuk menunaikan solat dalam suasana pandemik sekarang. Masjid perlu dipersiapkan sebagai institusi barisan depan untuk membawa komuniti dan kariah serta ummah secara keseluruhannya melalui perjalanan masa depan yang sangat mencabar dan serba mengelirukan ini.

Masjid perlu ada satu sistem tadbir urus, perancangan, pembangunan, pengembangan serta dakwah. Sektor ekonomi – koperasi, peruncitan, perkhidmatan dan pengeluaran juga wajar diteroka serta dimajukan. Melihat kepada trend, masjid boleh disandarkan untuk menerajui sosioekonomi dan sosiobudaya sesebuah komuniti. Masjid harus menjadi sumber ilmu, sumber dana, sumber motivasi dan sumber yang menggerakkan usaha ke arah memantapkan keselamatan iman kariahnya.

Masjid juga perlu melunaskan peranan dari segi  melaksanakan fardu ain dan fardu kifayah selain kebajikan serta pendidikan dan pembangunan sahsiah. Jika kita sorot, bagaimana percambahan pelbagai ilmu, pembinaan tamadun serta perkembangan empayar Islam, maka masjid adalah tunjang dan pusatnya yang melahirkan kekuatan umat Islam ketika itu. Justeru, peranan institusi masjid perlu dikembalikan sebagaimana fitrahnya – pusat pembangunan dan tamadun, pusat mencambahkan nilai dan susila, jati diri serta akhlak murni adalah antaranya peranannya.

Justeru, peranan imam dan petugas lain juga perlu disusun semula, diperkasakan dengan kemahiran dan keupayaan untuk memikul tanggungjawan serta peranan baharu ini demi manfaat kariah dan ummah. Ini termasuk keupayaan antaranya, memberi kaunseling, bermusyawarah, menghampiri generasi muda (yang menjauhi masjid) serta pendidikan kekeluargaan.

Imam dan petugas masjid ketika ini tiada kuasa undang-undang. Untuk itu, mereka sewajarnya diangkat dengan keupayaan tertentu bagi memainkan peranan lebih menyeluruh untuk kariahnya. Perlu ada skim perjawatan dan kuasa yang munasabah sebagai tanda institusi masjid adalah signifikan dan sebahagian daripada jentera pembangunan negara. Sebahagian daripada hasil kutipan zakat dan wakaf boleh digunakan untuk melaksanakan transformasi ini.

Aplikasi dan internet mesti dimanfaatkan untuk dakwah, pemerkasaan ilmu, membuat jangkauan (outreach) kumpulan sasaran yang perlu dibantu dari pelbagai perkara.

Dengan memahami falsafah penubuhan sesebuah masjid, maka antara falsfah masjid mesti ialah menjadi ruang dan keupayaan untuk mengukuhkan hubungan manusia dengan Allah SWT, hubungan manusia dengan manusia serta manusia dengan persekitaran (komuniti atau kariah).

Menyorot satu lagi sudut falsafah masjid ialah Rumah Allah ini mengajak manusia kepada ketakwaan dan menghindari kemaksiatan. Di masjid juga tempat kita meninggikan syiar Islam dan menghapuskan kesyirikan. Dari sudut kepentingan bermasyarakat, falsafah masjid adalah untuk mewujudkan keamanan dalam masyarakat dan menjauhkan mereka dari persengketaan.

Usaha untuk melaksanakan dan mencapai matlamat falsafah ini antara lain menerusi transformasi institusi masjid. Hanya dengan tadbir urus  dan hala tuju baharu yang tersusun dan cekap, maka hasrat itu akan tercapai dan kariah serta ummah bakal mendapat manfaat daripada transformasi ini.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

88  −  84  =