• Sunday, 20 June 2021, 2:42 pm

Menjelang ’total lockdown’: Pembelian panik tetap berlaku

 Menjelang ’total lockdown’: Pembelian panik tetap berlaku

Oleh Iqhram Ahmad dan Supian Ahmad

KUALA LUMPUR, 30 Mei – Walaupun kerajaan memberi jaminan bekalan barang keperluan ada sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 4.0 berkuatkuasa 1 hingga 14 Jun ini, masih ada rakyat yang melakukan pembelian panik dengan menyerbu pasar raya seawal jam 7 pagi bagi membeli barangan mereka.

Tinjauan Wacana.my di beberapa pasaraya di ibu negara mendapati, pelanggan beratur Panjang menunggu giliran untuk memasuki pasar raya dan ada stok barangan yang telah habis akibat pembelian berlebihan.

Pembelian panik oleh pengguna turut tular dalam media sosial. Gambar menunjukkan orang ramai berpusu-pusu ke pasar raya untuk membeli barang runcit, walaupun premis itu tetap beroperasi seperti biasa sepanjang tempoh ‘total lockdown’ kelak.

Pasar raya besar, yang dibuka mulai jam 8 pagi hingga 8 malam seperti yang ditetapkan prosedur operasi standard (SOP), hanya membenarkan hingga 250 pelanggan memasuki premisnya pada satu-satu masa.

Sebuah troli pelanggan penuh dengan barangan.

Selain itu, ada pasar raya yang meminta pelanggan menunjukkan status mereka sebagai ‘berisiko rendah’ di aplikasi MySejahtera sebelum dibenarkan masuk. Pihak pengurusan premis itu membenarkan hanya seorang masuk membeli.

Menurut seorang pengunjung pasaraya, Aiezatt Ahmad, 35, pembelian panik hanya menyusahkan banyak pihak selain menyebabkan orang ramai tertumpu di satu tempat, sekali gus meningkatkan risiko dijangkiti COVID-19.

Pengurusan sebuah pasar raya menggunakan sistem nombor untuk mengawal jumlah pelanggan dalam premis.

“Pembelian panik ini sepatutnya tidak berlaku sebab kerajaan telah memberi jaminan bekalan keperluan sentiasa tersedia ada. Disebabkan orang membeli secara berlebihan, banyak barang keperluan seperti beras, roti dan tisu kehabisan stok,” katanya kepada Wacana.my.

Huzaifah Zahari, 34, pula hanya mahu membeli beberapa barang keperluan tetapi terpaksa beratur panjang sehingga 100 meter untuk masuk ke premis pasar raya.

“Saya cuma nak beli lampin anak dan sayur. Tetapi orang terlampau ramai hingga saya terpaksa beratur panjang. Pasar raya di sini turut memperketatkan SOP. Sebab itu kami kena beratur panjang,” katanya.

Tinjauan di Pasar raya NSK Kota Damansara yang dibuka jam 8 pagi tetapi sudah ramai yang beratur seawal jam 7.30 pagi.

Pegawai Bahagian Sumber manusia NSK Kota Damansara, Akmal Hakimi berkata, pihak pasar raya hanya membenarkan maksimum 200 orang dalam satu masa menerusi sistem nombor.

“Kami hanya membenarkan 200 pelanggan masuk pada satu masa dan maksimum 2 jam setiap pelanggan,” katanya.

Pihak pasar raya juga membuat pengumuman mengenai pematuhan SOP dalam empat bahasa, Bahasa Melayu, Inggeris, Cina dan Tamil selang setiap 15 minit.

“Faktor orang ramai hari ini sebab hari ini hari minggu. Kebanyakan pula sudah bergaji dan nak elak kesesakkan jika buat pembelian saat akhir seperti pengalaman PKP 2020 lalu,” katanya.

Sementara itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melalui hantaran dalam laman rasmi Facebook, awal hari ini menasihatkan orang ramai tidak perlu membuat pembelian panik dan memberi jaminan bekalan barang keperluan adalah mencukupi dan hanya membeli barang yang perlu sahaja.

Semalam, kerajaan mengumumkan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi hingga 14 Jun depan untuk Fasa Pertama di seluruh negara. Sepanjang tempoh itu, semua sektor tidak dibenarkan beroperasi, kecuali sektor ekonomi dan perkhidmatan perlu yang akan disenaraikan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Supian Ahmad

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *