Mengingati Isra’ Mi’raj dan percaturan Yahudi di Palestin

 Mengingati Isra’ Mi’raj dan percaturan Yahudi di Palestin

Masjid Al-Aqsa

Oleh Datuk Wira Dr Ismail Ibrahim

 

UMAT Islam sering memeriahkan sambutan hari kebesaran Islam. Pada 11 Mac 2021 yang baru lepas, hari kebesaran Islam yang dirayakan ialah Peristiwa Isra’ Mi’raj, bersamaan 27 Rejab. Ia merupakan mukjizat Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW. Pada malam tersebut, Baginda dibawa Allah SWT dari Masjid Al-Haram di Makkah ke Masjid Al-Aqsa di Baitul-Maqdis, yang dikenali sebagai peristiwa Isra’ (surah Al-Isra’ (17)) kemudian Nabi Muhammad SAW mengadap Allah SWT, dengan istilah Mi’raj, menerima perintah sembahyang (solat) (surah Al-Najmu (53)).

Isra’ Mi’raj berlaku pada satu malam sahaja pada 620, kira-kira setahun setengah sebelum Nabi kita berhijrah ke Madinah sebagai satu episod penting dalam sejarah perjuangan Baginda SAW dalam membawa misi dan visi Islam yang global serta lengkap. Kenangan peristiwa Isra’ dan Mi’raj yang bersejarah ini amat penting sekali dihayati serta dirayakan dengan penuh makna. Ini kerana hal ini membawa makna yang amat tinggi dan mulia kepada agama Islam dan umatnya sebagai lambang kemuliaan dan kebesaran Nabi Muhammad SAW, terutamanya dengan kedudukan Palestin yang merupakan tapak bagi kiblat pertama umat Islam iaitu Masjid Al-Aqsa, sebelum diarahkan ke Masjid Al-Haram yang menjadi kiblat umat Islam seterusnya hingga ke zaman ini.

Dengan itu juga Masjid Al-Haram di Makkah, Masjid Al-Nabawi di Madinah dan Masjid Al Aqsa di Baitul Maqdis adalah tiga masjid suci yang terus menyinarkan cahaya keIslaman yang abadi.

Mungkin tidak ramai yang mengetahui tentang cerita tanah Palestin yang menjadi tapak Masjid Al-Aqsa tersebut, sedangkan peristiwa Isra’ menceritakan tentang kemuliaan Baitul Maqdis, yang terkenal dengan kedudukannya dengan wilayah Palestin yang mulia itu. Palestin inilah yang akhirnya menjadi kota yang peuh dengan kekejaman manusia yang ganas dan perosak tamadun Islam dan kemanusiaan seluruhnya.

Tanah Palestin berada di bawah pemerintahan Islam kali terakhir ialah di bawah kekuasaan Daulah Uthmaniyah, mulai pada 1516. Bandar dan ibu kota serta wilayah Palestin ini adalah kota umat Islam, dengan kebebasan diberikan kepada kaum Kristian dan Yahudi bagi menunaikan ibadat di sana. Namun akhirnya Palestin telah diusahakan oleh pihak Yahudi di sebalik nama pertubuhan Zionis, (World Zionist Organization) yang ditubuhkan pada 1897 iatu persatuan Yahudi antarabangsa, bertujuan untuk menakluki Palestin sebagai pusat Zionis dan merampasnya dari umat Islam.

Akhirnya, negara Zionist ditubuhkan pada 14 Mei 1948 di atas sekeping tanah yang kecil sahaja. Tetapi mereka telah merampas tanah Palestin dengan kadar 77% dan mengusir kira-kira 800.000 penduduk Palestin menjadi pelarian perang iaitu ketika mereka memenangi peperangan dengan Arab yang lemah dan tidak punya kepimpinan itu di antara tahun 1948 hingga 1967.

Dalam peperangan dengan Arab dalam Jun 1967, baki tanah Palestin telah dirampas termasuk Tebing Barat, Timur Jerusalem dan Genting Gaza. Regim itu turut menakluki Pergunungan Golan (1,150 km persegi) dari Syria, dan Semenanjung Sinai (61,198 km persegi) dari Mesir. Akibatnya, kira-kira 300,000 lagi rakyat Palestine menjadi pelarian perang dan terpaksa meninggalkan tanah air mereka.

Tetapi Sinai telah dikembalikan kepada Mesir ketika Mesir memenangi peperangan dengan Israel pada 1974, dengan beberapa syarat yang diletakkan kepada mereka, termasuk perjanjian damai dengan Israel dan bantuan kewangan dari sekutu Israel, Amerika Syarikat.

Ketika rakyat asal Palestin terpaksa lari merempat ke negara lain, regim Israel membuka pintu seluas-luasnya kepada orang Yahudi untuk berhijrah masuk ke Palestin di bawah kuasa Israel. Mengikut perangkaan yang pernah dicatatkan, terdapat kira-kira 2.8 juta Yahudi telah berhijrah ke Palestin di antara tahun 1949 hingga 2000.

Pada 2005, Israel sekali lagi bermain sandiwara iaitu mengundurkan tentera dan rakyatnya dari Gaza, supaya Gaza menjadi kawasan penduduk Palestin sepenuhnya. Kemudiannya ternyata bahawa Gaza telah menjadi penjara terbuka yang besar bagi rakyat Palestin, kerana lautan dan ruang angkasanya dikuasai oleh Israel.

Al-Quran menyatakan tentang para Nabi yang turun dan mendiami bumi suci Palestin ini dengan jelasnya iaitu seperti Nabi Ibrahim, Lut, Ismail, Ishak, Yaaqub, Yusuf, Salih, Daud, Sulaiman, Isa dan para Nabi lain lagi.

Nabi dan Rasul terakhir, Muhammad SAW,  telah diberikan penghormatan yang amat mulia oleh Allah SWT dengan pengembaraannya ke bumi suci ini dan persinggahannya pada waktu malam Israknya di masjid Al-Aqsa. Kenanglah dengan penuh khusyuk dan tawaduk akan peristiwa Isra’ Mi’raj yang penuh dengan integriti keagungan dan kebesaran Allah SWT, dan kemuliaan Rasul-Nya Muhammad SAW.

 

Penulis ialah Ahli Lembaga Pengarah Institut Integriti Malaysia

 

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

2  +  6  =