• Sunday, 20 June 2021, 8:43 am

Mengimpikan mitos Orang Mawas di Taman Negeri Rompin 

 Mengimpikan mitos Orang Mawas di Taman Negeri Rompin 

Menara pandang yang terdapat di Taman Negara Rompin

Oleh Mohd Fikri Mie

ROMPIN, 30 April: Kembali kepada alam dan pengunjung akan menikmati panorama belantara dengan udara  segar dan nyaman di dalam hutan hujan tropika tertua di dunia berusia 250 juta tahun. Inilah antara realiti Taman Negeri Rompin yang turut menyimpan kisah rakyat dan mitos termasuk ‘Orang Mawas’ atau dipanggil ‘Hantu Jarang Gigi’ di kalangan komuniti Orang Asli di situ.

Mengeksplorasi  khazanah Taman Negeri Rompin boleh dilakukan menerusi pelbagai aktiviti riadah yang lasak tetapi menyeronokan.

Air Terjun Seri Mahkota

Terletak dalam kawasan Hutan Simpan Endau-Rompin dengan keluasan 31,797 hektar, banyak produk alam yang menarik tersedia di situ dan pasti memberikan 1001 pengalaman serta kenangan kepada pelancong yang berkunjung.

Penolong Pengarah Kanan (Hutan Lipur) Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Regina Mariah Jong berkata, Taman Negeri Rompin sebelum ini dikenali sebagai Taman Negeri Endau-Rompin sebelum dinaik taraf yang mengambil masa tiga tahun dengan peruntukan RM15 juta disediakan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC).

Beliau berkata, pengunjung ke Taman Negeri Rompin berpeluang melintasi jambatan gantung sepanjang 80 meter, menaiki menara pandang setinggi 15 meter untuk menyaksikan pemandangan hutan, sungai dan jeram berbatu di situ.

Mengunjungi Air Terjun Seri Mahkota pasti menjanjikan keseronokan apabila pengunjung boleh mandi-manda dalam air sejuk yang mengalir deras di atas batu.

Sebuah pusat informasi serba moden juga dibina bagi membolehkan pengunjung memngetahui pelbagai maklumat berkaitan hutan, tumbuhan, serangga, binatang dan rama-rama. Bilik media dan beberapa permainan terkini turut disediakan untuk kanak-kanak serta replika air terjun dan hidupan liar.

Menurutnya, kemudahan lain terdapat di Taman Negeri Rompin ialah dewan, kantin, surau, gelanggang permainan, tapak perkhemahan dan rumah rehat yang selesa dengan sewa berpatutan.

Pelbagai program boleh dianjurkan di situ.

Untuk meneroka pengalaman baharu, pengunjung boleh merasai cabaran mendaki dan menuruni Bukit Padang Tujuh pada ketinggian 400 meter dari paras laut  yang mengambil masa tiga hingga lima jam.

“Ketika menjelajah hutan, pengunjung boleh menemui pelbagai jenis serangga, burung, tumbuhan herba, paku pakis dan pokok balak pelbagai saiz serta bernilai tinggi.

“Sekiranya bernasib, mereka yang bermalam di sana berpeluang melihat kumpulan gajah, harimau belang, tapir dan beberapa binatang liar lain yang keluar mencari makan,” katanya.

Walaupun Taman Negeri Rompin kawasan larangan aktiviti menangkap ikan namun bagi yang ingin melihat lebih dekat ikan kelah, kelisa, sebarau dan beberapa spesies lain mereka boleh ke hulu Sungai Kincen dengan perjalanan antara tiga hingga empat jam sehala.

Untuk menyegarkan badan selepas penat berjalan, Air Terjun Seri Mahkota setinggi 50 meter sedia menanti.  Juga terdapat Air Terjun Buaya Sangkut dengan ketinggian 120 meter selain Sungai Kincen dan Jeram Panjang.

Pusat infomasi yang mempamerkan hidupan liar, serangga dan permainan serba moden

 

Berkayak antara riadah yang boleh dilakukan di Taman Negeri Rompin

 

Bagi menjamin keselamatan, pengunjung Taman Negeri itu disyaratkan menggunakan khidmat pemandu pelancong dengan bayaran berpatutan. Bagi yang berkhemah pihak pengurusan Taman Negeri Rompin menyediakan pengawal.

Untuk ke sana, pengunjung akan melalui perjalanan lebih sejam dari Pekan Rompin ke Pekan Tanjung Gemok kemudian memasuki Simpang Sepayang dengan jarak 40 kilometer ke Taman Negeri Rompin.

Untuk memasuki Taman Negeri Rompin, pengunjung dikenakan bayaran iaitu RM10 hingga RM30 seorang, pelancong antarabangsa RM30 hingga RM50. Pelajar yang datang secara berkumpulan seramai 30 orang dikenakan bayaran RM100 (tempatan) dan RM200 (antarabangsa).

Sejak dibuka sepenuhnya September 2020, seramai 14,860 pengunjung tempatan datang ke Taman Negeri Rompin.

Rompin Park Resort Sdn Bhd ketika ini adalah operator yang menguruskan Taman Negeri Rompin untuk tempoh 30 tahun. Pengalaman luas syarikat ini dalam sektor pelancongan diharap dapat meletakkan Taman Negeri Rompin di landasan sebenar sebagai produk pelancongan eko bertaraf antarabangsa.

 

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *